PETALING JAYA : Ketika harga beras tempatan semakin naik di pasaran pada masa ini sehingga membuatkan rakyat tidak senang duduk akibat masalah bahan makanan itu, timbul pula isu minyak masak yang tiba-tiba ‘jatuh’ tanpa diduga.
Namun, ‘jatuh’ yang dimaksudkan itu bukanlah dari segi harganya tetapi jatuh dari sebuah lori pengangkut.
Tularnya di media sosial Facebook ketika ini, satu klip video yang tidak dipastikan lokasi sebenar berlakunya kejadian itu menyaksikan beberapa botol minyak masak 5 kilogram yang jatuh dari sebuah lori di atas jalan raya.
Menerusi video yang berdurasi 23 saat itu, kelihatan seorang wanita sedang mengalihkan botol-botol minyak yang terjatuh itu disamping beberapa pengguna jalan raya lain yang turut memberhentikan kereta kerana terhalang oleh botol minyak tersebut.
Menurut perakam video terbabit, beberapa botol minyak masak itu terjatuh dari sebuah lori yang didakwa pintu belakangnya terbuka.
Rata-rata pengguna media sosial turut memuji tindakan wanita tersebut yang mengalihkan botol-botol tersebut ke tepi jalan dan tidak mengambil minyak masak tersebut seperti kebiasaan orang lain.
“Bagus kakak ni, dia ambil dan alih ke tempat selamat sahaja. Kalau orang lain dah licin tu bawa masuk dalam kereta,” kata Azrin Muhamad.
“Itu dia, dalam keadaan harga beras naik mendadak, minyak masak pula ‘jatuh’ dari langit. Ini dikatakan rezeki terpijak,” kata Mohd Zalisham Aziz.
Lihat video penuh:
Sumber: Kosmo Online
