NAIROBI, KENYA – Seorang wanita di Kajiado, Kenya mengurung dirinya di dalam rumah bersama dua anaknya sebelum membakar kediaman tersebut selepas mendapat tahu bahawa suaminya telah berkahwin lain.
Dalam kejadian pada Selasa lalu, dua anaknya itu yang masing-masing berusia 10 dan 12 tahun telah terbunuh selepas rumah mereka terbakar di ladang Saina, kawasan Kajiado Central.
Detektif yang mengendalikan kes itu berkata, mangsa sebenarnya berang akan suaminya selepas mendapat tahu suaminya berkahwin dua.
Si suami juga dikatakan tinggal bersama isteri keduanya dan tidak pulang ke rumah mereka selama beberapa minggu di mana agak lama sebenarnya.
Akibat kemarahan yang sudah tidak dapat dikawal lagi, wanita berkenaan bertindak dengan mengurung dirinya dan dua anaknya di dalam rumah mereka sebelum membakar kediaman itu kira-kira pada pukul 2 petang (waktu tempatan).
Jiran-jiran bergegas ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan tiga beranak tersebut daripada kebakaran yang sudah merebak.
Mereka bagaimanapun hanya sempat menyelamatkan wanita berkenaan sementara dua anaknya dilaporkan telah meninggal dunia akibat kebakaran itu.
Wanita tersebut mengalami melecur yang serius dan dikejarkan ke sebuah hospital, manakala mayat dua anaknya yang rentung terus dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.
Sumber: Kosmo
