KUALA LUMPUR – Seramai 23 individu ditahan dalam serbuan ke atas dua premis kediaman yang dijadikan sebagai pusat panggilan penipuan kerja dalam talian di Persiaran KLCC.
Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya selaku Ketua Polis Daerah Dang Wangi berkata sindiket itu yang beroperasi selama hampir sebulan menyasarkan mangsa di luar negara dengan tawaran komisen yang tinggi.
Menurut beliau, kesemua suspek diberkas menerusi serbuan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
“Seramai 23 individu melibatkan 12 lelaki warga tempatan serta sembilan lelaki dan dua wanita warga asing berusia dalam lingkungan 18 hingga 52 tahun.
“Polis turut merampas sebanyak 31 telefon bimbit, 14 unit CPU, 14 unit monitor, 10 unit papan kekunci, 10 unit tetikus serta sebuah komputer riba, router, modem dan sekeping kad akses,” kata Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya dalam satu kenyataan.
Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, semakan lanjut pihaknya mendapati dua individu mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kesemua suspek direman selama empat hari mulai hari ini hingga 24 September dan kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” ujar beliau lagi.
Sumber: Kosmo
