PASIR MAS : Dua orang pelajar sekolah antara empat lelaki yang dicekup selepas didapati membawa sebanyak 200 biji pil nitrazepam atau pil epam di depan sebuah kedai makan di Kampung Repek.
Keempat-empat suspek tersebut ditahan kira-kira pada pukul 9.30 malam oleh sepasukan anggota Balai Polis Pasir Mas.
Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed selaku Ketua Polis Daerah Pasir Mas berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 16 hingga 19 tahun itu didapati berada di depan premis tersebut dalam keadaan yang sangat mencurigakan.
Menurut Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, siasatan mendapati bahawa dua daripada suspek merupakan pelajar sekolah menengah di daerah ini manakala seorang lagi warganegara Thailand.
“Polis kemudiannya merampas 200 biji pil epam atau ubat penenang dengan anggaran berat 20 gram yang bernilai RM800 bersama suspek.
“Hasil semakan mendapati, dua daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkait kes dadah,” kata Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed dalam satu kenyataan.
Kama Azural juga memberitahu, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati mereka adalah negatif dadah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Kosmo
