KEPALA BATAS : Seorang lelaki yang dikejarkan ke hospital selepas terjatuh pada ketinggian 4.57 meter (m) ketika menjalankan kerja-kerja menukar siling sebuah institusi kemahiran, di sini, pada 12 September lalu dilaporkan telahpun meninggal dunia semalam.
Dalam insiden yang berlaku pada jam 5 petang itu, mangsa bersama dua pekerja lain sedang menukar siling berhadapan pentas dewan berkenaan.
Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKPP) Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya ke lokasi kejadian sebaik sahaja mendapat panggilan berhubung insiden itu.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa adalah warga tempatan berusia 48 tahun yang juga pekerja sub kontraktor dilantik untuk melakukan tugas senggaraan dan pembaikan di institusi berkenaan.
“Sebelum kejadian, mangsa bersama dua pekerja lain sedang menjalankan kerja-kerja menukar siling berhadapan pentas di dewan institusi terbabit sebelum terjatuh dari ketinggian 15 kaki (4.57m).
“Ekoran itu, mangsa tidak sedarkan diri berikutan kecederaan dialaminya dan dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan,” katanya.
Katanya juga, selepas seminggu menerima rawatan mangsa telah disahkan meninggal dunia.
“Susulan kejadian itu, JKKP mengeluarkan satu notis larangan terhadap kontraktor terbabit bagi menjalankan kerja-kerja di tempat tinggi sehingga langkah sewajarnya diambil.
“Pada masa sama, JKKP negeri juga akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja yang mana mereka bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.
Menurutnya lagi, seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).
Sumber: HMetro
