Seorang wanita dilaporkan mengalami luka melecur yang serius selepas koleksi tin deodoran yang disimpannya terbakar dan menyebabkan berlakunya sebuah letupan besar di pangsapurinya di Jerman.
Penduduk sebuah bangunan tinggi di Oberhausen, di Rhine-Westphalia Utara di Jerman, dikejutkan dengan gegaran kuat pada Jumaat malam selepas letupan kuat berlaku dari tingkat lima blok rumah pangsa itu.
Tingkap di beberapa bilik pangsapuri itu turut pecah, menyebabkan serpihan kaca bertaburan ke arah tempat letak kereta sejauh 30 meter. Hal itu telah mengakibatkan beberapa kereta rosak.
Selain itu, beberapa rumah lain di pangsapuri berkenaan juga rosak, serta ruang tangganya.
Seorang wanita memberitahu akhbar Jerman Bild bahawa letupan itu mengakibatkan sebuah lubang besar terbentuk pada dinding dapurnya.
Perkhidmatan kecemasan telah dipanggil ke bangunan itu, dan anggota bomba mengesahkan letupan tersebut disebabkan oleh nyalaan gas pendorong yang terdapat di dalam tin deodoran. Pemilik kediaman dikatakan gemar mengumpul tin deodoran yang dibuat menjadi koleksi.
Polis dan pejabat pendakwa raya masih belum menentukan dengan tepat bagaimana atau mengapa gas itu dinyalakan.
Sementara itu pula, wanita yang hanya dikenali sebagai Melissa G. kerana undang-undang privasi Jerman, dilaporkan responsif tetapi belum bersedia untuk disoal siasat.
Teman lelakinya, yang hanya dikenali sebagai Jonathan G. tidak cedera secara fizikal semasa kejadian itu.
Anggota bomba juga ada mengatakan bahawa walaupun kerosakan teruk pada bangunan dan pangsapuri berdekatan, adalah selamat bagi penyewa pulang ke rumah mereka.
Sumber: UtusanTV
