JAKARTA – Seorang murid perempuan sekolah rendah yang berusia lapan tahun dari daerah Gresik di Jawa Timur buta akibat dicucuk dengan lidi bebola daging oleh seorang pelajar senior yang membulinya.
Kejadian tersebut dilaporkan telah menimpa seorang kanak-kanak di perkampungan Menganti 7 Ogos lalu ketika menyertai pertandingan sempena sambutan kemerdekaan Indonesia di sekolahnya.
Bapa mangsa, Samsul Arif, 36 tahun berkata, ketika sedang asyik berlatih di padang sekolah, anak perempuannya yang hanya dikenali sebagai Sah tiba-tiba ditarik oleh seorang pelajar senior menuju ke kawasan lorong berhampiran bilik guru dan memaksanya memberikan wang.
Sah enggan menuruti kehendak pelajar senior itu menyebabkan dia berasa berang dan terus menusuk mata mangsa dengan menggunakan lidi bakso.
“Saya membawanya ke Hospital Cahaya Giri di Bringkang, Menganti. Kemudian saya dirujuk ke RSMM Jawa Timur, hingga akhirnya saya dirujuk semula ke Hospital Daerah Soetomo.
“Anak saya sudah sebulan tidak ke sekolah. Kalau tengok mata kanannya nampak macam biasa, tapi sebenarnya dia tidak dapat melihat kerana sarafnya sudah rosak akibat tikaman lidi itu.
“Anak saya kini masih trauma dan takut sangat malah sehingga kini masih tidak mahu bercakap banyak,” katanya kepada wartawan Kompas.com.
Samsul turut berkata, dia dan isterinya sudah cuba meminta pihak sekolah menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekolah itu untuk mengetahui pelajar yang menjadikan anak mereka buta namun, pihak sekolah enggan berbuat demikinan.
“Saya dah minta pihak sekolah tunjukkan kamera CCTV tapi tidak dibenarkan. Anak saya tak tahu nama pelajar senior itu dan hanya mengecam wajahnya tetapi dia kan tidak boleh melihat lagi sekarang,” kata Samsul.
Sumber: Utusan Malaysia
