KEMAMAN : Seorang pembantu kedai perkakasan membuat laporan polis kononnya disamun dua lelaki dan mengalami kerugian RM2,200. Namun begitu, helah dia akhirnya terbongkar.
Tindakan lelaki berusia 29 tahun yang berasal dari Pahang itu berjaya dihidu oleh pihak polis setelah mendapati laporan yang dibuat adalah palsu.
Superintenden Hanyan Ramlan selaku Ketua Polis Daerah Kemaman berkata, hasil soal siasat mendapati bahawa lelaki berkenaan telah kehabisan duit gaji dan tidak mampu memberikan duit belanja kepada isterinya.
“Pihak polis mendapati pengadu sebenarnya telah kehabisan duit gaji dan tidak mampu berikan duit belanja kepada isterinya.
“Pengadu kemudian bertindak membuat laporan polis mendakwa disamun. Rantai dan loket emas yang dikatakan turut dilarikan penyamun sebenarnya masih ada di kedai emas dan belum diambil lagi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Superintenden Hanyan Ramlan, pihak polis sebelum ini menerima laporan daripada anggota balai polis Pasir Gajah memaklumkan seorang pengadu membuat laporan disamun oleh dua lelaki kira-kira jam 4.20 petang.
Katanya, pengadu memberitahu tidak mengalami sebarang kecederaan namun kehilangan dompet, rantai dan loket emas bernilai RM700 yang dilarikan penyamun.
“Pengadu memberitahu dia disamun serta turut diacu pisau pada bahagian leher oleh dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal berwarna merah hitam.
Sumber: Sinar Harian
