KUALA LUMPUR : Seorang pesara kerajaan berputih mata selepas mengalami kerugian lebih RM4 juta akibat ditipu pelaburan mata wang kripto.
Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor selaku Ketua Polis Daerah Brickfields berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Brickfields telah menerima laporan kejadian itu.
Menurut beliau, mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun memaklumkan nahawa dirinya telah ditipu urusan pelaburan mata wang kripto melibatkan kerugian RM 4,417,092.
“Mangsa pada awalnya menerima mesej melalui WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali (suspek) yang mengiklankan pelaburan mata wang kripto.
“Suspek kemudiannya memperkenalkan diri sebagai agen pelaburan yang berasal dari Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, mangsa kemudian dipujuk untuk melabur sebelum diarah membuat pendaftaran di laman web yang diberikan.
Kata beliau, mangsa telah dijanjikan pulangan sebanyak lima hingga 10 peratus daripada nilai modal, namun tidak dinyatakan tempoh pelaburan tersebut.
“Terpedaya dengan tawaran tersebut, bermula 18 Julai lalu sehingga 6 September 2023, mangsa telah membuat 90 transaksi bayaran berjumlah RM 4,417,092.80 secara berperingkat ke dalam tiga akaun bank yang diberikan.
“Namun begitu, mangsa gagal mengakses laman web berkenaan dan gagal menghubungi suspek” jelasnya.
Sehubungan dengan itu juga, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, mangsa yang mengesyaki telah ditipu apabila tidak menerima sebarang keuntungan pelaburan membuat laporan polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sumber: Kosmo Online
