Disebabkan memotong barisan, sekumpulan pekerja warga asing merusuh di tapak pembinaan sebuah pangsapuri dekat Bukit Tinggi, Klang.
Asisten Komisioner Cha Hoong Fong selaku Ketua Polis Daerah Klang Selatan berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 8 pagi, Julai lalu.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian daripada pengurus tapak pembinaan, seorang lelaki tempatan yang berusia 41 tahun pada jam 4.56 petang.
“Pengadu mengesahkan kejadian berlaku ketika pekerja kontrak binaan sedang beratur untuk masuk kerja.
“Ketika kejadian, didapati tiga orang pekerja warga asing telah memotong barisan sehingga berlakunya pertengkaran mulut dan adegan tolak menolak,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Asisten Komisioner Cha Hoong Fong lagi, pengadu yang kebetulan berada di lokasi telah meleraikan pergaduhan tersebut dan tiada individu yang mengalami kecederaan.
“Pihak pengurusan juga telah menyelesaikan masalah tersebut secara dalaman,” ujarnya.
Katanya juga, polis telah mengenal pasti individu yang memuat naik video tersebut dan telah menyesali perbuatannya kerana mengakibatkan kerisauan dan kebimbangan masyarakat.
Sumber: UtusanTV
