MELAKA : Seorang operator kilang maut selepas terjatuh dari motosikal sebelum dilanggar oleh sebuah kereta gara-gara cuba mengelak daripada bangkai anjing di Jalan Tun Fatimah.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 7.50 pagi itu, mangsa, Nur Eliya Ezzatul Rabu, 24, disahkan telah meninggal dunia di lokasi akibat parah di bahagian kepala.
Asisten Komisioner Christopher Patit selaku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah berkata, ketika kemalangan, mangsa yang menunggang sebuah motosikal Yamaha Ego Avantiz dalam perjalanan dari arah Bukit Rambai menuju ke tempat kerja di Batu Berendam.
“Setibanya di lokasi, motosikal mangsa hilang kawalan ketika cuba mengelak bangkai anjing di tengah jalan.
“Mangsa yang terjatuh kemudian dilanggar sebuah Perodua Myvi dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
“Siasatan mendapati ketika nahas berlaku permukaan jalan adalah basah kerana hujan.
“Pihak polis sedang berusaha mendapatkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada Perodua Myvi untuk membantu siasatan,” kata Asisten Komisioner Christopher Patit.
Sumber: Kosmo
