NEW DELHI – Begitu malang sungguh nasib seorang bayi lapan bulan di Bengaluru, India, kerana meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik selepas mengunyah wayar pengecas mudah alih.
Gulf News melaporkan, insiden itu berlaku di kampung Siddarada, Karwar taluk di daerah Uttara Kannada di Karnataka pada Rabu.
Mendiang Sanidhya Kalgutkar adalah merupakan anak perempuan kepada Santhosh Kalgutkar dan Sanjana Kalgutkar.
Menurut pihak polis, pengecas mudah alih tersebut telah dibiarkan dalam keadaan disambungkan ke soket dengan suis itu tidak dimatikan.
Bayi yang memegang wayar pengecas mula mengunyah pin wayar pengecas mudah alih dan terkena renjatan elektrik.
Ahli keluarga dengan segera membawa Sanidhya ke hospital daerah selepas menyedari insiden tersebut.
Bagaimanapun, doktor kemudian mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia.
Bapanya, Santhosh Kalgutak yang bekerja sebagai seorang pekerja kontrak dengan Syarikat Bekalan Elektrik Hubballi (Hescom) rebah di tempat kerja selepas mengetahui kejadian itu.
Dia turut dimasukkan ke hospital, manakala mayat bayi perempuan itu dipindahkan ke bilik mayat.
Difahamkan juga, Sanidhya adalah merupakan anak ketiga pasangan itu.
Susulan kematiannya, pihak polis mendaftarkan satu kes dan menjalankan siasatan lanjut mengenainya.
Sumber: HMetro
