JASIN – Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai telah mencederakan seekor anjing peliharaan milik jirannya dengan cara menikam perut haiwan itu sehingga terburai ususnya di Jalan Teratai, Taman Maju.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pada pukul 9.30 malam itu, suspek berusia 37 tahun telah ditahan selepas dilaporkan menceroboh masuk sebuah rumah dan mencederakan seekor anjing dengan menggunakan senjata tajam.
Deputi Superintenden Mispani Hamdan selaku Ketua Polis Daerah berkata, mengikut laporan awal, ketika kejadian pintu pagar rumah pengadu tidak berkunci dan suspek masuk ke kawasan garaj sebelum tiba-tiba mengamuk untuk mencederakan haiwan tersebut.
“Pengadu yang merupakan seorang suri rumah berusia 50 tahun mendengar anjingnya membuat bising dan terus meninjau keadaan luar rumah dari tingkap biliknya.
“Dia kemudian nampak perbuatan suspek namun tidak keluar kerana takut,” kata Deputi Superintenden Mispani Hamdan.
Beliau juga turut berkata, anjing tersebut mengalami kecederaan di mana mana usus perutnya terkeluar namun ketika kejadian masih hidup.
Difahamkan, anjing itu kini telah mati akibat kecederaan yang dialami.
“Suspek yang dilihat berada dalam keadaan mabuk kemudian berjalan keluar dari rumah pengadu dan membuat bising dengan menjerit.
“Sepasukan polis menahan suspek pada hari kejadian dan merampas sebilah sabit besi serta pisau,” katanya.
Tambahnya lagi, lelaki itu telah ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana ceroboh dan Seksyen 428 Kanun kerana melakukan khianat dengan membunuh atau mencacatkan haiwan.
Sumber: Utusan Malaysia
