JAKARTA – Nasib seorang amah yang didera oleh majikan dan beberapa rakan kerjanya telah terbela apabila mereka semua dihukum dan dimasukkan ke dalam penjara.
Siti Khotimah, 23, sebelum ini telah didera oleh majikannya yang merupakan pasangan suami isteri, So Kasander dan Metty Kapantow ketika dia bekerja dengan mereka sebagai pembantu rumah di Jakarta Selatan.
Pasangan suami isteri itu masing-masing telah diberikan hukuman penjara selama empat dan tiga setengah tahun oleh mahkamah dalam perbicaraan.
Selain itu juga, enam lagi pembantu rumah pasangan suami isteri itu juga turut dihukum penjara tiga tahun setengah kerana bersubahat mendera Siti Khotimah.
Siti yang berasal dari Pemalang, Jawa Tengah merantau ke Jakarta untuk mencari kerja sebelum menjadi pembantu rumah kepada pasangan suami isteri tersebut.
Selepas lima bulan lamanya bekerja dengan mereka, Siti mula dipukul dan didera sehingga dipaksa tidur di dalam sangkar anjing.
Lebih malang lagi, beberapa rakan sekerjanya juga mendera Siti dengan menyiramnya dengan air panas.
Wanita itu kemudiannya menceritakan kejadian itu kepada keluarganya dan mereka bertindak untuk melaporkannya kepada polis.
Siasatan polis mendapati memang benar Siti didera oleh majikan dan rakan sekerjanya.
Sumber: Utusan Malaysia
