Connect with us

Hi, what are you looking for?

Kisah MalayaKisah Malaya

Uncategorized

> Lelaki minum peluh dan urin sendiri, Cuba bunuh diri ketika sesat selama 9 hari

Ada sebuah kisah, tentang seorang pelari yang nyawanya hampir terkorban di gurun Sahara.

Pada awal bulan Mac setiap tahun, pelari-pelari maraton dari seluruh dunia akan berhimpun di selatan Maghribi untuk menyertai acara larian paling sukar di dunia yang dikenali sebagai Marathon des Sables. Peserta harus mengharungi trek sejauh 186 batu di kawasan yang paling ekstrim iaitu gurun Sahara.

Penduduk-penduduk di jazirah Arab dan Afrika menganggap ia satu kejohanan yang gila. Masakan tidak, keadaan Sahara yang mempunyai suhu melebihi 120 darjah Celcius pada siang hari, bentuk rupa bumi yang tandus, ribut pasir yang ganas dan kedinginan malam yang membeku, sudah cukup untuk untuk menggambarkan betapa ekstremnya acara ini.

Pada tahun 1994, seramai 144 orang peserta dari seluruh dunia telah mendaftar untuk menyertai maraton ini. Salah seorangnya ialah bekas atlet simpanan pasukan Olimpik Itali yang juga merupakan seorang anggota polis Sicily, Mauro Prosperi.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Mauro Prosperi

Sekalipun tiada pengalaman di padang pasir, Prosperi memulakan larian dengan baik. Selepas berlari lebih daripada 50 batu, dia masih berada dalam kelompok 10 peserta teratas.

Pada hari keempat, Prosperi tiba di checkpoint ke-20. Di situ, dia telah mendapatkan rawatan untuk kakinya yang melecur teruk akibat bahang permukaan pasir yang sangat panas. Selesai dirawat, dia mengambil sebotol air mineral dan kembali meneruskan larian.

Tanpa diduga, ketika dalam perjalanan untuk ke check-point seterusnya, laluan Prosperi telah dilanda ribut pasir. Angin kencang menyebabkan pasir berterbangan di udara sehingga pandangannya menjadi kabur. Tambah memeritkan lagi apabila butir-butir pasir yang panas menjadi seakan-akan jarum tajam yang menusuk kulit, mata, mulut dan telinga.

Peraturan utama pertandingan ini ialah sekiranya berlaku ribut pasir, peserta dikehendaki berhenti dan menunggu untuk mendapatkan bantuan.

Sebab itu, Prosperi berhenti berlari. Dia membalut mukanya dengan kain dan berhenti di tengah-tengah kekalutan itu. Walau bagaimanapun, dia terpaksa bergerak sedikit demi sedikit untuk mengubah kedudukan bagi mengelak daripada ditimbus oleh pasir-pasir yang dibawa ribut.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Enam jam kemudian, angin kembali reda. Namun, penanda yang dibuat untuk laluan para peserta tidak lagi kelihatan. Prosperi sedar dia telah sesat dan terkeluar dari laluan yang sepatutnya.

Sementara itu pula, di khemah check-point, para petugas telah menyedari kehilangan Prosperi. Beliau yang sepatutnya berada di tempat ketujuh ketika itu masih tidak kelihatan. Menjelang tengah malam, pihak penganjur telah mengumumkan kehilangannya dan usaha menyelamat dilancarkan.

Di tengah-tengah gurun pasir Sahara seluas 9,100,00 kilometer persegi, Prosperi semakin hilang arah. Tiada kompas dan petunjuk menyebabkan dia sukar untuk mengesan laluan trek maraton itu. Dia hanya mampu terus berjalan mengikut gerak hatinya.

Selepas tiga hari sesat di gurun yang terbentang luas itu, keadaan Prosperi semakin buntu. Bahang panas Sahara menyebabkan Prosperi mula terbayangkan kematian. Bekalan makanan dan minuman semakin berkurangan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Sampai satu tahap di mana botol airnya telah kering, Prosperi hanya mampu menghirup peluhnya sendiri untuk membasahkan tekak. Dia meletakkan sehelai kain di atas bahu bagi mengelap titisan-titisan peluh yang keluar dari setiap inci tubuhnya.

Apabila kain pengelap peluh itu basah dan lembap, Prosperi akan menghisapnya untuk membasahkan tekak yang semakin kering. Manakala, yang selebihnya pula akan diperah ke dalam botol minuman yang sentiasa berada dalam genggaman bagi mengelakkan ia tersejat dek terik matahari.

Bukan sahaja peluh, malah dia turut membuang air kecil ke dalam botol tersebut. Hanya itu sahaja bekalan yang ada padanya bagi mengharungi keperitan di Sahara.

Prosperi akan meminum air kumuhannya secara berperingkat, dan mengulangi proses itu selagi terdapat air di dalam badan. Ketika ini, tidak timbul lagi soal jijik. Hanya itu sahaja jalan terbaik untuk dia terus hidup dan mengumpul secebis tenaga bagi meneruskan langkahnya.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Untuk menempuhi gelora di padang pasir itu, Prosperi hanya berjalan pada waktu pagi dan petang sahaja, iaitu ketika cahaya matahari tidak terlalu menyengat. Manakala pada waktu tengah hari, Prosperi akan berehat dan berteduh di bawah naungan bayangan bukit-bukit pasir.

Pada hari keempat sesat, keadaan Prosperi sudah semakin lemah. Namun begitu, perjalanannya pada hari itu sedikit baik apabila dia menemui sebuah masjid lama yang telah ditinggalkan. Masjid itu mungkin telah didirikan oleh kabilah-kabilah Arab yang pernah melalui jalan itu, tetapi kini ia hanya menjadi sarang haiwan-haiwan padang pasir.

Tinggalan masjid lama yang ditemui Prosperi ketika sesat di gurun ini.

Prosperi memasang khemahnya di hadapan pintu masuk masjid dan memacakkan bendera negaranya iaitu Itali sebagai tanda bahawa beliau masih hidup dan berada di situ. Kemudian, Prosperi masuk ke dalam masjid untuk mencari sisa-sisa sumber makanan atau air yang ada.

Di dalamnya, Prosperi berjaya menangkap dua ekor kelawar untuk hidangannya hari itu. Dengan pisau lipat yang tersemat di koceknya, Prosperi mengelar leher haiwan itu untuk menghirup darahnya. Darah kelawar itu diperah selagi boleh bagi menghilangkan kehausan yang ditanggungnya selama beberapa hari.

Dengan segala kudrat yang tinggal, Prosperi cuba sedaya upaya untuk terus hidup, walaupun hati kecilnya yakin dia akan mati. Sekiranya dia mati di dalam masjid berkenaan, sekurang-kurangnya jasad beliau akan dijumpai dan upacara pengebumian boleh dilakukan oleh ahli keluarganya di Itali.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Atas alasan itu, Prosperi mengambil sehelai kertas dan menulis nota kepada isterinya. Kemudian, dia mengambil pisau lipat dan mengelar pergelangan tangannya untuk membunuh diri. Namun, keadaan nyah-hidrat telah menyebabkan darahnya menebal dan membeku. Disebabkan itu, dia tidak mati dan hanya pengsan sahaja.

Pada keesokan harinya, Prosperi kembali terjaga dan mendapati dirinya masih hidup. Kali ini, dia mendapat semangat baru dan terus berikhtiar supaya dapat bertemu semula dengan keluarganya di Itali.

Prosperi kembali meneruskan perjalanannya. Khemah ditinggalkan bagi mengurangkan bebanan dan menjimatkan tenaga seminimum mungkin. Apa yang dibawa hanyalah barang yang penting sahaja seperti pisau, topi, pengenalan diri, kain untuk mengelap peluh serta botol minuman yang kosong.

Perjalanannya kali ini lebih ekstrem tanpa peralatan yang lengkap. Sumber airnya hanyalah embun di waktu pagi manakala untuk mengalas perut Prosperi akan menjamah apa sahaja haiwan yang dijumpai termasuk ular, cicak dan kala jengking. Pada waktu malam pula dia akan menanam tubuhnya di dalam pasir bagi mengelak suhu gurun yang sangat sejuk.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Selepas sembilan hari melalui keperitan padang pasir, akhirnya Prosperi menemui sebuah oasis dan kolam tadahan air yang kecil. Tidak jauh dari situ, dia menemui seorang gadis penggembala yang kemudian telah mendapatkan pertolongan daripada sekumpulan orang nomad dan membawa Prosperi ke kampung berdekatan di Tuareg.

Penduduk Tuareg telah membawa Prosperi ke hospital. Namun, ketika melalui zon pemeriksaan tentera di Tidouf, Prosperi telah dituduh sebagai pengintip. Mujur kedutaan Itali telah mengesahkan bahawa beliau bukan perisik tetapi merupakan salah seorang peserta Marathon des Sables yang telah hilang.

Selepas tiba di hospital, Prosperi menyedari bahawa dia kini berada di Algeria. Dia telah menyimpang dan berjalan sejauh kira-kira 130 kilometer dari trek asalnya.

Keadaan Porsperi ketika ditemui berlumuran darah, uzur dan kehilangan berat badan hampir 16 kilogram. Prosperi turut mengalami kegagalan hati. Namun, dia masih mampu untuk terus hidup dan ia dianggap sesuatu yang luar biasa.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Kepulangan Prosperi ke Itali disambut bagai wira.

Selepas menerima rawatan selama beberapa hari di hospital, Prosperi telah diterbangkan ke kampung halamannya di Rom, Itali. Dia telah disambut bagaikan wira dan akhbar Itali telah menggelarnya sebagai ‘Robinson Crusoe Sahara’.

Walaupun hatinya rosak dan mengambil masa setahun untuk pulih, Prosperi tetap bersemangat untuk kembali beraksi dalam acara larian jarak jauh.

Tiga tahun selepas peristiwa pahit di gurun Sahara, pada tahun 1997, Prosperi kembali mendaftarkan namanya dalam kejohanan Marathon des Sables dan berjaya menamatkan lariannya dalam masa 25 hari, 30 minit dan 37 saat.

 

Sumber: UtusanTV

Advertisement. Scroll to continue reading.
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You May Also Like

Uncategorized

NAIROBI, KENYA –  Seorang wanita di  Kajiado, Kenya mengurung dirinya di dalam rumah bersama dua anaknya sebelum membakar kediaman tersebut selepas mendapat tahu bahawa...

Uncategorized

Walaupun sedang menjalani hukuman juvana di sebuah pusat pemulihan, empat pelajar perempuan ini nampaknya masih lagi berkelakuan tidak bermoral. Empat orang pelajar perempuan yang...

Uncategorized

Seorang wanita di Vietnam dilihat hanya tergelak selepas peragut berjaya melarikan diri bersama rantai emas miliknya. Kejadian itu dilaporkan berlaku ketika wanita tersebut sedang...

Uncategorized

Seorang pelajar perempuan telah menjadi mangsa rakannya sendiri apabila dia dikelar. Mangsa telah dikelar dengan menggunakan sejenis pisau dapur. Kejadian ngeri itu telah berlaku...