AMPANG : Akibat berang kerana wang RM5,000 yang diminta untuk pulang ke kampung tidak diberi, seorang wanita warga Indonesia bertindak untuk mengugut dengan mengacu pisau ke arah muka suaminya dalam kejadian di Taman Tasik Tambahan.
Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail selaku Ketua Polis Daerah Ampang Jaya berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pada jam 6 pagi, 6 Julai lalu.
“Mangsa lelaki tempatan berusia 48 tahun telah berselisih faham dengan isterinya (suspek) yang meminta wang RM5,000 untuk pulang ke kampung.
“Mangsa tidak mempunyai wang yang diminta sebelum diugut oleh isterinya dengan mengacukan pisau ke arah muka dan menyatakan akan merodok mulut mangsa dengan pisau terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail turut berkata, bertindak atas maklumat, wanita berusia 34 tahun itu telah diberkas di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira pada jam 9 malam, Ahad lalu.
Tambah Mohd Azam, pihak polis turut merampas sebilah pisau yang digunakan oleh suspek semasa kejadian terbabit.
“Suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai kini direman selama empat hari sehingga 27 Julai untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
