Ketawa boleh membawa bahagia malah boleh menghilangkan rasa serabut di kepala. Hati yang gundah pula boleh menjadi ceria. Tetapi rupa-rupanya, ketawa juga boleh membawa bencana. Boleh maut akibat terlampau suka berlebihan. Tak percaya? Cuba baca kisah ini dulu…
Pada 24 Mac 1975, lelaki bernama Alex Mitchell yang tinggal di Norfolk, England, telah ketawa terbahak-bahak semasa menonton siri komedi televisyen yang paling digemarinya, The Goodies.
Adegan seorang lelaki yang membawa alat muzik bagpipe berlari lintang pukang akibat dibaling dengan puding hitam menyebabkan Mitchell tidak mampu menahan gelaknya. Dia ketawa terbahak-bahak sambil menekan perut.
Selepas ketawa selama tempoh 25 minit, Mitchell tiba-tiba rebah di atas sofa dan terus meninggal dunia akibat jantungnya yang gagal berfungsi. Balu Mitchell, Nessie yang turut menyaksikan kejadian tersebut, kemudian menghantar sepucuk surat kepada trio pelawak The Goodies (Tim Brooke-Tyler, Graeme Garden dan Bill Odie) untuk mengucapkan terima kasih kerana telah membuatkan suaminya mengakhiri 30 minit terakhir hayatnya dengan ketawa.
Di Bangkok, Thailand, lain pula ceritanya. Seorang pemandu trak mati selepas ketawa semasa tidur. Dalam kejadian itu, Damnoen Saen-um, 52, yang sedang nyenyak tidur tiba-tiba ketawa terbahak-bahak tanpa henti. Aneh bukan?
Menurut akhbar The Nation, isteri Damnoen cuba mengejutkan suaminya tetapi lelaki itu terus juga ketawa tanpa sebab. Selepas dua minit ketawa, tiba-tiba nafas Damnoen terhenti. Post-mortem yang telah dilakukan oleh pihak hospital kemudiannya mendapati Damnoen mati akibat serangan jantung.
“Saya tak pernah jumpa kes sebegini. Tapi hakikatnya, seseorang itu memang boleh mendapat serangan jantung semasa ketawa atau menangis di dalam tidur,” kata Dr. Somchai Chakrabhand yang merupakan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Mental, Kementerian Kesihatan Awam Thailand.
Manakala itu, dalam buku Schott’s Original Miscellany yang ditulis sempena kemangkatan Raja Nandabayin di Burma pada 1599, dia dicatatkan bahawa, “… raja mangkat selepas ketawa apabila diberitahu oleh seorang pedagang Itali bahawa Venice adalah negeri bebas dan tidak mempunyai raja.”
Hampir samalah halnya dengan Pietro Aretino, seorang penyair dan penulis drama berunsur satira di Itali pada abad ke-16. Pietro pula rebah pada 21 Oktober 1556 ketika sedang ketawa semasa berjenaka dengan kawan-kawannya tentang isu lucah.
Apabila disemburkan air ke mukanya, Pietro tersedar seketika dan memberitahu kawan-kawannya, “Halau tikus-tikus tu jauh-jauh, sekarang seluruh badan aku dah disapu dengan minyak pelincir.” Selepas mengucapkan kata-kata lucah itu, Pietro terus terkulai dan meninggal dunia.
Kematiannya disahkan oleh doktor sebagai kematian ‘lemas akibat ketawa’. Ketika itu Pietro berusia 64 tahun.

Pietro Aretino.
Philemon, penulis cerita-cerita komedi Rom pula mendapati jenaka yang diciptanya terlalu kelakar hingga dia tidak dapat menahan rasa geli hatinya. Philemon terus ketawa terbahak-bahak tanpa henti sebelum tumbang ke lantai dan terus meninggal dunia. Kejadian lucu campur pelik ini berlaku pada 263 Sebelum Masihi.
Nasib yang sama menimpa Zeuxis, pelukis Greek pada abad ke-5 Sebelum Masihi, yang terlalu geli hati apabila melihat lukisan seorang perempuan tua yang siap dilukisnya hari itu.
Lukisan tersebut begitu buruk hingga membuatkan Zeuxis tidak dapat berhenti ketawa hinggalah dia tergolek tidak sedarkan diri dan kemudiannya M – A – T – I… mati.
Ada yang suka ketawa ke? Hati-hati…
Sumber: UtusanTV
