AMPANG JAYA : Sepasang suami isteri terkejut apabila kepulangan mereka ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji disambut dengan keadaan yang mengejutkan. Hal ini kerana mereka melihat tombol pintu bilik rumah mereka dipecah masuk.
Rupa-rupanya, anak lelaki mereka mengadakan ‘parti’ dan ‘lepak’ di kediaman ibu bapanya pada 15 Julai lalu.
Keseronokan berparti bertukar menjadi episod malang apabila lelaki itu dipukul oleh rakan yang datang malah tujuh jam tangan milik keluarganya yang bernilai RM300,000 juga turut dicuri.
Semua itu hanya diketahui oleh pasangan suami isteri itu apabila mereka tiba di rumah di Taman Melawati pada jam 2.20 pagi.
Datuk Hussein Omar Khan selaku Ketua Polis Selangor berkata, hasil permeriksaan lanjut wanita berusia 51 tahun itu mendapati tujuh jam tangan pelbagai jenama hilang dengan anggaran kerugian sebanyak RM300,000.
“Susulan daripada itu, pada jam 1.30 tengah hari semalam, sepasukan polis membuat serbuan di rumah di Subang Jaya dan menahan ahli muzik sambilan wanita berusia 26 tahun dan penuntut universiti awam lelaki berusia 21 tahun.
“Suspek wanita mempunyai tiga rekod lampau atas kesalahan dadah dan urin positif dadah jenis THC manakala suspek lelaki tiada kesalahan lampau dan urine positif dadah jenis THC,” kata Datuk Hussein Omar Khan.
Datuk Hussein Omar Khan juga berkata, dalam serbuah berkenaan, pihak polis berjaya merampas barangan yang dicuri iaitu enam jam tangan, papan luncur (skate board) yang digunakan memukul anak pengadu, beberapa telefon bimbit serta barangan lain.
“Berdasarkan hasil siasatan, suspek bersama lebih kurang lapan hingga 10 orang rakan-rakan anak pengadu dijemput oleh anaknya untuk pergi ke rumah itu berparti dan lepak makan.
“Salah seorang suspek yang masih bebas ada bertanya kepada anak pengadu berkenaan urusan pinjaman wang yang dibuat olehnya dengan menggunakan nama suspek.
“Keadaan itu mencetuskan pertengkaran sehingga anak pengadu dipukul menyebabkan mengalami lebam di bahagian mata,” kata Datuk Hussein Omar Khan.
Beliau berkata lagi, suspek kemudian masuk ke dalam bilik pengadu dan mengambil barang-barang miliknya.
“Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 25 Julai ini dan usaha mengesan serta menangkap suspek yang masih bebas masih dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kesalahan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sumber: HMetro
