KEMAMAN : Penduduk Taman Desa Solehah, Mak Chili di sini gempar dengan penemuan mayat lelaki yang ditemukan sedang terapung di Sungai Kuang berhampiran dengan taman perumahan tersebut semalam.
Mayat yang terapung itu disyaki adalah mayat lelaki warga asing. Mayatnya ditemui oleh sekumpulan pemancing udang pada pukul 4 petang.
Superintendan Hanyan Ramlan selaku Ketua Polis Daerah Kemaman berkata, sewaktu itu, mereka sedang menaiki bot untuk mencari lubuk memancing udang namun secara kebetulan ternampak sesuatu yang terapung.
“Pada mulanya mereka menyangkakan objek yang terapung berhampiran rimbunan pokok nipah berkenaan hanyalah sisa kayu.
“Begitupun apabila didekati baru mereka menyedari ia sebenarnya mayat,” kata Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi hari ini.
Superintendan Hanyan Ramlan juga berkata, penemuan mayat tersebut kemudiannya telah dimaklumkan kepada pihak polis.
Tambah beliau lagi, setakat ini identiti mayat tersebut masih belum lagi dikenalpasti namun disyaki warga asing berdasarkan pakaian tradisional dipakainya.
Sumber: Kosmo
