JAKARTA – Baru-baru ini tularnya kisah seorang remaja lelaki di Polewali Mandar di Sulawesi Barat yang melarikan diri sebelum majlis perkahwinannya sehingga tempatnya terpaksa digantikan oleh abang kandungnya sendiri.
Kisah berkenaan tular di media sosial selepas video majlis perkahwinan pasangan tersebut yang berlangsung secara meriah di perkampungan Campalagian dimuat naik di akaun Instagram, @infomamuju.
Video tersebut menceritakan pengantin perempuan yang dikenali sebagai Magfirah patah hati apabila kekasihnya, Faisal Ashari meninggalkannya ketika persiapan majlis pernikahan mereka yang sudah lengkap dibuat.
Selepas Faisal tiba-tiba menghilangkan diri tiga hari sebelum majlis berlangsung dan masih enggan pulang menjelang hari pernikahan, Magfirah akhirnya bersetuju untuk menerima lamaran daripada abang kekasihnya iaitu Ahmad Adsyah.
Menurut keluarga pengantin perempuan yang bernama Linda, Faisal dan Magfirah sudah lama bercinta namun lelaki itu secara tiba-tiba memberi alasan belum bersedia untuk berkahwin dan mahu menyambung pelajaran.
Katanya juga, Ahmad kemudian tampil memberitahu dia sanggup menggantikan adiknya itu kerana tidak sanggup melihat keluarga mereka menanggung rasa malu dan berselisih faham.
“Ahmad berlapang dada kerana masih belum mempunyai kekasih dan ingin menjaga maruah keluarga masing-masing kerana jemputan sudah diedar. Jadi keluarga sepakat mengahwinkan mereka pada majlis tersebut.
“Magfirah juga terbuka hati menerima Ahmad namun dia dan keluarga besarnya tidak mahu lagi berjumpa Faisal kerana berasa terhina dan menganggap lelaki itu tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
