ABUJA – Seorang pelawak dan pencipta kandungan warga Nigeria didakwa buta selama hampir 45 minit ketika cuba mencipta rekod maraton tangisan paling lama di dunia.
Tembu Daniel, yang menggunakan nama 237_towncryer di akaun Instagramnya, baru-baru ini telah cuba mencabar dirinya dengan melakukan aktiviti luar biasa dengan menangis secara berterusan selama tempoh 100 jam tanpa henti.
Pemuda Nigeria itu dilaporkan memulakan cabaran aneh itu pada 9 Julai lalu, namun terpaksa menangguhkan tangisannya 6 jam kemudian. Hal ini kerana berdepan kesan sampingan yang tidak dijangka.
“Saya mengalami sakit kepala, mata menjadi sembap, muka membengkak malah paling teruk, merasa seolah-olah buta dan keadaan itu berlarutan selama kira-kira 45 minit.
“Saya terpaksa menyusun semula strategi dan mengurangkan ratapan saya. Saya tidak mahu membiarkan masalah ini menghalang saya daripada mencapai matlamat yang diinginkan,” kata penghibur dalam talian itu kepada BBC.
Sehingga kini masih lagi tidak jelas sama ada Daniel benar-benar menyelesaikan rekod tersebut kerana beberapa klip percubaan yang disiarkan di Instagramnya menunjukkan dia hanya mampu melakukannya paling lama sekitar 5 jam 54 minit.
Malah akaun media sosial Rekod Dunia Guinness turut menjelaskan pihak mereka itu tidak pernah memantau percubaan rekod sedemikian.
Menurut Oddity Central, walaupun gagal mencapai sasaran yang ditetapkan, Daniel masih berjaya mendapatkan perhatian yang diidamkannya, selepas percubaan rekod uniknya itu menjadi tajuk utama berita antarabangsa dan turut tular dalam media sosial.
Sumber: Utusan Malaysia
