Pengorbanan setiap guru berbeza-beza mengikut diri mereka sendiri tetapi masih mempunyai matlamat yang sama iaitu menaburkan ilmu kepada pelajar-pelajar di sekolah.
Selain ibu bapa, guru juga merupakan antara insan yang paling banyak berjasa dalam membentuk diri anak murid agar tumbuh menjadi insan yang berguna dan berjaya.
Walau perjalanannya tidak mudah, mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebaiknya.
Menerusi satu paparan video yang dikongsikan oleh seorang pelajar di sebuah sekolah, seorang guru kelihatan begitu gigih dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik dan sanggup hadirkan diri ke sekolah untuk mengajar walaupun dalam keadaan dirinya tidak sihat. Lebih sebak lagi, guru tersebut terlihat gigih mengajar walau terpaksa memakai alat bantuan oksigen.
Walaupun sedang sakit, guru itu masih kuatkan dirinya untuk hadir ke sekolah semata-mata mahu menyampaikan ilmu kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan. Semangat yang ditunjukan beliau di dalam kelas dengan memakai alat bantuan 0ksigen meninggalkan kesan sayu dan kagum di hati para pelajar.
Pelajar yang merakam video ini ingin berkongsi kepada yang lain untuk lihat sendiri kegigihan sang pendidik dalam menyampaikan ilmu kepada anak didik mereka. Dia berharap agar para pelajar lebih menghargai dan menghormati setiap pengorbanan guru dalam mendidik mereka.
Guru tersebut secara tidak sedar telah memberi satu impak yang besar kepada murid-murid untuk terus berjuang walau adanya ujian hidup.
Betul acuan didikan maka terdidik dengan eloklah pelajar tersebut.
Rata-rata netizen sebak menonton video yang menyaksikan kegigihan seorang guru tanpa menjadikan tahap kesihatannya sebagai alasan dalam menjalankan tanggungjawab.
Malah, ramai yang mendoakan kesejahteraan guru berkenaan agar terus kuat dan tabah mendidik para pelajarnya.
Difahamkan juga, menerusi satu perk0ngsian di Twitter, seorang pemuda berkongsi kisah tular guru wanita ini.
Menurutnya, guru berkenaan sebenarnya merupakan ibu saudaranya yang berkhidmat di sebuah sekolah di Kota Tinggi, Johor.
“Ramai tak tahu yang viral satu Malaysia hari tu kes cikgu ni tetap mengajar walaupun dia boleh dikatakan kritikal.
“Dia adalah adik arwah ayah aku. Dia ada asma yang kronik tapi bertambah teruk sebab kena C0vid-19,” tulisnya.
Pemuda itu menjelaskan bahawa ibu saudaranya yang mesra disapa Mak Andak itu merupakan seorang guru yang berdedikasi dalam kariernya sebagai pendidik.
Walaupun terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan, namun ia bukanlah satu halangan untuk guru berkenaan terus komited mengajar.
Jelas jejaka ini, ibu saudaranya itu lebih mengutamakan pelajaran anak didiknya berbanding keadaan kesihatannya yang semakin membimbangkan.
Dia bagaimanapun menjelaskan bahawa ibu saudaranya bukan mengajar demi mencari wang semata-mata, tetapi sebaliknya atas semangatnya dalam mendidik anak bangsa.
“Dia tetap mengajar walaupun kena pakai alat bantuan pernafasan sebab lebih risaukan anak murid (Tingkatan 6) yang ketinggalan dalam pelajaran.
“Semangat Mak Andak ni memang aku salute. Dari aku kecil sampai sekarang semua anak saudara memang dia yang ajar buat kelas tambahan secara percuma untuk anak saudara semua. Alhamdulillah semua jadi ‘manusia’. The best makcik ever.
“Dia ni kalau tak mengajar pun tak apa sebab dia bukan orang susah. Tapi memang semangat dia mengajar dan memang dari dulu aku UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) sampai Muet (Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia) dialah cikgu tuisyen aku,” ujarnya lagi.
Demikian betapa kasihnya cikgu kepada pelajarnya. Tanpa didikan mereka, tidak menjadilah mereka yang kini bergelar doktor, usahawan, tentera, peguam dan lain-lain.
Seperti ibu bapa, guru juga insan yang patut kita hormati, hargai dan sayangi. Semoga guru-guru kita dirahmati dan diberikan ketabahan serta kekuatan untuk terus mendidik anak bangsa agar menjadi insan berguna dunia akhirat.
Meskipun berada dalam situasi sebegitu, guru tersebut tetap memikirkan pendidikan anak-anak muridnya agar berjaya di masa hadapan.
Sumber: Info Rakyat
