TOKYO – Seorang wanita Jepun didakwa telah membuat panggilan kecemasan palsu sebanyak 2,761 kali, semata-mata kerana bosan dan mahu menghilangkan kesunyiannya.
Disebabkan itu, Niroko Hatagami, 51 tahun dari Matsudo, wilayah Chiba, timur Tokyo telah ditahan oleh pihak polis pada hari Khamis kerana mengganggu operasi pasukan penyelamat.
Menurut pihak polis, wanita itu membuat panggilan daripada telefon bimbitnya dan lain-lain kemudahan selama hampir tiga tahun iaitu sejak Ogos 2020 sehingga Mei 2023.
Wanita itu juga turut mengaku membuat panggilan telefon dari rumahnya dan lokasi lain sekitar kejiranan. Hal ini berlaku kerana dikatakan dia ‘sunyi dan perlukan seseorang mendengar dan memberinya perhatian’, lapor media tempatan.
Sepanjang tempoh itu juga, dia ada membuat aduan mengenai sakit perut, pengambilan ubat berlebihan, sakit kaki serta gejala lain.
Namun begitu, sebaik sahaja pasukan kecemasan tempatan tiba, wanita itu menolak rawatan yang mahu diberikan berulang kali dan menafikan membuat panggilan itu.
Penahanannya susulan laporan polis dibuat Jabatan Bomba Matsudo pada 20 Jun lalu.
Kajian mendedahkan, hampir 1.5 juta penduduk di Jepun mungkin menderita kesunyian melampau dan ia diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19.
Sumber: HMetro
