YAN – Seorang lelaki ditahan oleh pihak polis selepas dipercayai cuba untuk menyamun sebuah kedai serbaneka dengan menggunakan sepucuk pistol mainan di Dulang pada Jumaat lalu .
Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji selaku Ketua Polis Daerah Yan berkata, suspek warga tempatan berusia 35 tahun ditahan di tepi jalan di Titi Hayun pada jam 4.30 pagi selepas juruwang kedai terbabit membuat laporan polis sejam sebelumnya.
“Siasatan awal mendapati, sekitar pukul 3.05 pagi, suspek pergi mengisi minyak motosikal di stesen minyak yang terletak bersebelahan kedai serbaneka di situ. Selepas mengisi minyak suspek dilihat mundar mandir di tepi bangunan stesen minyak berkenaan,” kata Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji.
Menurut Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji, ketika juruwang itu keluar untuk mengambil penyapu yang berada di tepi stesen minyak itu, dia disergah oleh suspek sambil menunjukkan objek disyaki sepucuk pistol menyebabkan mangsa berlari masuk semula ke dalam premisnya.
“Selepas gagal memperolehi apa-apa daripada mangsa, suspek kemudiannya bergegas melarikan diri. Kira-kira sejam kemudian kita berjaya menahan suspek dan merampas sepucuk pistol mainan, sebuah motosikal dan sehelai jaket berwarna hitam,” kata Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji lagi.
Kata beliau juga, semasa disoal siasat suspek turut mengaku mengacukan sepucuk pistol mainan itu kepada mangsa ketika cubaannya melakukan samun.
“Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dan satu rekod menceroboh rumah mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
“Saringan awal air kencing suspek turut positif dan kini direman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
