TAIPING – Seorang bayi perempuan yang baru sahaja dilahirkan telah dibuang di belakang sebuah rumah di satu kawasan perumahan di Kamunting.
Bayi itu kini dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Taiping manakala ibunya juga dirawat di hospital yang sama.
Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid selaku Ketua Polis Daerah Taiping berkata, pihaknya ada menerima laporan daripada Pegawai Perubatan di Hospital Taiping berhubung seorang wanita berusia 22 tahun disyaki telah melahirkan seorang bayi perempuan dan bertindak membuang bayinya.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat tersebut, pihak polis ke lokasi di satu kawasan perumahan dan menemukan seorang bayi di belakang rumah dalam keadaan dihurungi oleh semut.
“Bayi itu ditemukan dalam keadaan bertutup dengan kain dan tuala. Bayi tersebut segera dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan.
“Ketika dilahirkan bayi itu dipercayai berusia tujuh bulan dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Taiping.
“Bayi itu berada dalam keadaan stabil dan ibu bayi itu masih dirawat di Hospital yang sama,” kata Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid.
Menurut beliau lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu mendedahkan dan membuang kanak-kanak yang umurnya kurang daripada 12 tahun oleh ibu bapa atau penjaganya.
Sekiranya dia disabitkan kesalahan, dia boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sumber: Utusan Malaysia
