RIO DE JANEIRO : Seorang wartawan telah menjadi korban di Mexico, kali ini pengarah berita dalam talian ditembak mati di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Acapulco, lapor media tempatan pada hari Sabtu yang lalu.
Pengarah Lo Real de Guerrero, Nelson Matus Peña, ditembak di bahagian kepala, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik laporan daripada akhbar El Sol de Acapulco.
Laman sesawang berkenaan melaporkan mengenai keganasan dan jenayah di pusat peranginan pantai yang terkenal sejak sekian lamanya.
Laman sesawang Matus adalah yang paling banyak dibaca dalam Guerrero menurut akhbar El Universal.
Pejabat pendakwa negeri pula ada mengatakan bahawa pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes terbabit bagi menjalankan siasatan yang selanjutnya.
Pada 8 Julai lalu, seorang wartawan ditemukan maut di barat Mexico.
Pertubuhan wartawan antarabangsa Reporters Without Borders (RSF) meletakkan Mexico antara negara paling berbahaya di dunia bagi pengamal media.
Mexico berada di tempat ke-128 daripada 180 dalam kedudukan kebebasan media.
Sumber: Sinar Harian
