MUAR – Seorang pekerja kedai langsir mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, semalam di atas pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak yang berusia 13 tahun, minggu lalu.
Tertuduh yang berusia 27 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Berdasar pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berumur 13 tahun satu bulan di dalam sebuah kereta Proton Persona antara pukul 8 hingga 9.30 malam di hadapan kedai makan di sebuah flat di Kluang.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii, manakala bagi pertuduhan ketiga dia dituduh melakukan amang seksual di tempat dan masa sama.
Bagi kesalahan merogol, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama 30 tahun berserta sebatan.
Bagi kesalahan persetubuhan di luar tabii pula, dia didakwa di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama 20 tahun berserta sebatan.
Bagi pertuduhan amang seksual, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum penjara maksimum selama 20 tahun juga berserta sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir yang mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam.
Terdahulu, Danial Munir memohon mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan yang dilakukan tertuduh merupakan satu jenayah yang berat dan serius.
Hakim kemudian menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh jatuh hukuman.
Sumber: Utusan Malaysia
