Hanya kerana tersalah membuat tempahan melalui perkhidmatan e-hailing, seorang pelajar kolej trauma apabila bukan sahaja dimaki malah dipaksa untuk berbogel sebelum suspek merakam video dan mengugut mangsa membayar sejumlah wang.
Itulah yang terjadi kepada remaja lelaki yang berusia 18 tahun ini apabila dia memuat turun satu aplikasi e-hailing ketika berada di rumahnya, lalu secara tidak sengaja membuat tempahan.
Kejadian yang berlaku pada pukul 1 pagi itu membuatkan pelajar berkenaan merasa trauma apabila dipaksa berbogel dan mengugutnya untuk membayar sejumlah wang.
Menerusi laporan, pelajar tersebut telah membatalkan tempahan, namun dia tiba-tiba dihubungi oleh pemandu e-hailing itu yang memarahinya kerana didakwa telah membuat tempahan palsu.
Disebabkan kejadian itu, pemandu tersebut kemudian menghantar mesej menerusi WhatsApp kepada pelajar tersebut dengan memarahinya dan ingin bertemu remaja terbabit kerana merasa dirinya telah ditipu sedangkan tempahan sudah dibuat namun tiba-tiba dibatalkan.
Remaja berkenaan kemudian bersetuju untuk bertemu pemandu tersebut di kediamannya dan membayar tambang RM25.50 sebagai ganti rugi di atas kesalahannya.
Dikatakan mereka bertemu di kediaman remaja terbabit pada pukul 1.10 pagi sebelum dia meminta maaf dan menyerahkan wang ganti rugi itu.
Bagaimanapun, pemandu itu bertindak mengugut remaja berkenaan dengan menggunakan nama polis dan menyuruh dia menanggalkan pakaian, namun dibantah olehnya.
Justeru itu, pemandu tersebut terus memaksa remaja itu untuk menanggalkan pakaiannya dan mengugut akan membuat laporan polis konon mangsa membuat tempahan palsu jika tidak mengikut arahannya.
Bukan itu sahaja, selepas mengugut akan membuat laporan polis, pemandu berkenaan juga telah meminta bayaran sebanyak RM200.
Oleh kerana bimbang akan berlaku perkara yang tidak diingini, remaja berkenaan terus mengikut arahannya dan memindahkan wang itu ke dalam akaun bank yang diberikan pemandu itu.
Tidak hanya berhenti di situ, pemandu tersebut terus mengugut remaja itu melalui WhatsApp dengan meminta dia membayar RM2,000 jika tidak mahu video dia menanggalkan pakaian disebarkan serta membuat laporan polis.
Dia turut memberi tempoh selama dua hari kepada remaja berkenaan untuk membayar wang itu. Hal ini menyebabkan mangsa tertekan kemudian membuat laporan di Balai Polis Pudu untuk tindakan lanjut.
Sementara itu pula, polis sudah mengenal pasti suspek yang berasal dari Pulau Pinang dan sedang mengesannya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
