JOHOR BAHRU : Pemilik bengkel maut dalam kejadian manakala pekerjanya cedera selepas bengkel membaiki jentera berat meletup di Jalan Persiaran Mutiara Mas, Taman Mutiara Rini, Skudai.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 9.13 malam itu, mangsa yang berusia 41 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala pekerjanya yang berusia 27 tahun melecur dan patah kaki.
Asisten Komisioner Rahmat Ariffin selaku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri berkata, semasa kejadian, kedua-dua mangsa sedang melakukan kerja-kerja kimpalan terhadap sebuah lori tangki di dalam bengkel berkenaan.
“Ketika melakukan kerja-kerja kimpalan tangki minyak yang losing berlaku satu letupan yang just sehingga meragut nyawa seorang lelaki yang juga pemilik bengkel dan seorang lelaki yang juga pekerja melecur dan patah kaki.
“Kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat dan rawatan kecemasan,” kata Asisten Komisioner Rahmat Ariffin.
Terdahulu, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, BBP Larkin dan BBP Pekan Nenas diaturgerak ke lokasi kejadian bersama dengan kekuatan seramai 24 orang anggota.
Mohd Faiz Suleiman selaku Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba berkata setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, mereka mendapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah bengkel jenis kekal berkeluasan 40 kaki x 40 kaki.
“Kesan kebakaran telah memusnahkan 60 peratus daripada premis tersebut. PKO bertindak memadamkan kebakaran dengan menggunakan satu aliran 300 kaki dua pancutan air dari jentera J1-01 sumber air dari pili bomba berhampiran.
“Semasa kejadian, telah berlaku letupan dan kesan letupan tersebut telah mengakibatkan kerosakan pada cermin tingkap rumah yang berada pada jarak lebih kurang 100 kaki dari bengkel tersebut. Kesan letupan turut mengakibatkan dua orang mangsa telah melecur dan dihantar ke hospital berhampiran sebelum PKO tiba di lokasi kejadian,” kata beliau.
Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi telah ditamatkan pada pukul 11.39 malam.
Punca kebakaran dan nilai kerugian masih lagi dalam siasatan.
Sumber: Kosmo
