MELAKA: Seorang penuntut kolej mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar madrasah, tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Rasyid Ruslan, 19 tahun, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan yang pertama, tertuduh didapati telah merogol seorang perempuan yang berusia 15 tahun 20 hari kira-kira pada pukul 1.30 tengah hari di dalam bilik di sebuah hotel di Jalan Plaza Mahkota dalam daerah Melaka Tengah pada 12 Jun tahun lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat, jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didapati telah melakukan amang seksual terhadap mangsa yang sama pada waktu, lokasi dan tarikh yang juga sama dan didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan juga sebat.
Mengikut fakta kes yang dibaca, mangsa dikatakan tidak mahu ke madrasah dan telah pergi ke hotel berkenaan seorang diri. Mangsa telah meminta bantuan tertuduh untuk mendaftar masuk menggunakan namanya ekoran mangsa masih lagi di bawah umur.
Tertuduh kemudian telah menemani mangsa di dalam bilik hotel berkenaan sebelum memujuknya untuk melakukan hubungan seks.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili Peguam Zulkifli Awang merayu agar hukuman terhadap anak guamnya diringankan dengan alasan tertuduh telah digantung dari kolejnya dan kini hanya bekerja sambilan di kedai runcit, selain ia merupakan kesalahan pertama dan pemuda itu telahpun insaf.
Tambahnya lagi, pihak kolej tempat tertuduh menyambung pengajian juga telah bersetuju memberikan peluang kedua kepadanya untuk meneruskan kursus diambil sekiranya kes mahkamah itu dapat diselesaikan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Aliff Asraf Anuar Sharuddin selaku Timbalan Pendakwa Raya, bagaimanapun memohon agar pertimbangan hukuman dibuat lebih kepada kepentingan awam dan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.
Selepas mendengar rayuan daripada kedua belah pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat bagi tempoh 240 jam dalam masa dua tahun dan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan penjamin beserta jaminan sebanyak RM7,000 untuk tiga tahun.
Hukuman itu adalah mengikut Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah iaitu peruntukan untuk perlepasan di bawah satu bon berkelakuan baik atas dasar tertuduh adalah pesalah pertama.
Sumber: Kosmo
