AMPANG JAYA: Dua helai seluar jeans selain wang antara yang dicuri oleh seorang lelaki ketika memecah masuk pejabat bekas majikannya di Ukay Perdana dalam kejadian yang berlaku pada Ahad lalu.
Lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai peniaga menyedari bahawa pejabatnya telah dipecah masuk pada jam 6.09 petang di mana pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dilakukan oleh bekas pekerjanya.
Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail selaku Ketua Polis Daerah Ampang Jaya berkata, mangsa memeriksa pejabatnya dan mendapati terdapat kesan umpil pada lubang kunci pintu belakang pejabat.
“Antara barangan yang hilang adalah wang tunai dan dua helai seluar jeans dengan anggaran kerugian adalah RM4,150.
“Susulan itu, suspek ditahan polis jam 11.30 malam tadi di kawasan Ukay Perdana,” kata Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail.
Beliau turut berkata, pemeriksaan air kencing mendapati suspek adalah negatif dadah dan mempunyai satu rekod jenayah lampau tidak dikehendaki.
“Turut dirampas bersama adalah satu beg dan beberapa pakaian dicuri serta diguna ketika kejadian.
“Suspek yang tidak bekerja disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” kata beliau.
Sumber: HMetro
