Hati mana yang tidak tersentuh apabila melihat orang tua yang sebaya dengan usia ibu bapa atau datuk dan nenek kita masih lagi bekerja untuk mencari rezeki.
Namun begitu, lumrah kehidupan pasti ada yang terpaksa mencari kerja pada usia sebegini demi menyara hidup.
Seorang wanita yang bernama Mastura berkongsi sebuah video di TikTok, memaparkan seorang pakcik sedang sibuk bekerja memesin rumput di halaman rumahnya walaupun pada ketika itu hujan turun dengan lebat.
Menerusi video tersebut, Mastura meminta pakcik itu untuk berhenti seketika dan menyambung kerja pada keesokan harinya, namun ditolak kerana perlu memenuhi tuntutan kerja lain pada hari tersebut.
Lihat video penuh di bawah:
“Tak boleh stop besok pakcik ada kerja lain. Sikit je lagi ni,” ujar pakcik itu.
Bagaimanapun, akibat kilat dan guruh mula berdentum dengan kuatnya membuatkan pakcik itu terpaksa berhenti untuk berteduh seketika untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Mastura menghulur sepinggan nasi goreng dan kopi panas untuk pakcik itu menjamah sementara menunggu hujan berhenti.
Dapat dilihat juga pakcik tersebut begitu berselera menjamah makanan yang dimasak oleh Mastura dan berterima kasih kepadanya kerana sanggup berkongsi rezeki.
Menerusi ruangan kapsyen pula, wanita itu menyatakan pakcik itu sebenarnya sudah datang pada hari sebelumnya namun terpaksa berhenti sekerat jalan kerana mesin yang digunakannya tiba-tiba rosak.
Dia juga turut menjelaskan pekerja sebelum ini merupakan orang muda namun pada hari tersebut tiada kekosongan dan pakcik itu dengan rela hati untuk mengambil upah memesin rumput.
Dalam pada itu juga, dia menitipkan doa agar segala urusan pakcik itu dipermudah dan diberikan kesihatan yang baik supaya kekal sihat untuk mencari rezeki.
Perkongsian video tersebut turut mendapat perhatian ramai warga Tiktok, rata-ratanya tersentuh melihat kegigihan pakcik melaksanakan amanah bekerja.
Sumber: Lobak merah, Tiktok @panggilmasjela
