
Anggota polis berkawal bersama penduduk kampung berikutan penampakan pocong di Lasem, Jawa tengah.
JAKARTA: Penduduk di Lasem, Rembang, Jawa Tengah kecoh dengan penampakan pocong. Bukan itu sahaja, mereka juga turut terganggu dengan pintu rumah mereka yang sering diketuk secara misteri pada waktu malam.
Kejadian itu telah dilaporkan berlaku di Desa Sumbergirang dan Desa Jolotundo.
Seorang daripada penduduk di situ memberitahu bahawa dia ternampak entiti itu berada di rumah jirannya berhampiran dengan sebatang pokok limau pada minggu lalu.
Peristiwa sama turut disaksikan beberapa penduduk lain pula yang menyatakan tidak selesa dengan kehadiran entiti tersebut.
“Kami berasa takut untuk keluar pada waktu malam ketika ini disebabkan pocong, malah aktiviti perniagaan juga tidak dapat dilakukan seperti biasa.
“Lama-kelamaan, perkara itu akan menjejaskan kehidupan kami, sumber pendapatan kami,” kata seorang penduduk yang dikenali sebagai Widodo.
Namun begitu, ada juga penduduk yang berpendapat bahawa penampakan pocong itu sebenarnya dilakukan oleh manusia yang sengaja ingin menakutkan penduduk setempat.
Jelas mereka juga, berdasarkan maklumat yang dikumpul, beberapa saksi memberitahu, pocong tersebut kelihatan seperti ‘tidak selesa’ dan ‘pandai berlari’ apabila dikejar penduduk kampung.
“Kami tidak dapat tidur nyenyak setiap malam, ditambah pula dengan pintu rumah kami sering diketuk, apabila dibuka, tiada siapa di luar.
“Malah, ada penduduk kampung membakar pokok pisang mereka selepas mendakwa sering ternampak pocong di situ,” ujar Widodo.
Sementara itu pula, pihak polis Lasem mengesahkan mereka sudah menerima laporan mengenai kejadian itu dan penduduk kampung minta mereka menjaga keselamatan pada waktu malam kerana bimbang akan berlakunya hal-hal yang lain pula sekiranya dibiarkan.
“Polis meminta semua penduduk kampung supaya tidak panik kerana dibimbangi boleh mencetuskan insiden yang tidak diingini.
“Polis akan siasat jika benar kejadian yang berlaku di dua kampung itu disebabkan oleh entiti mistik atau manusia yang tidak bertanggungjawab,” kata jurucakap polis.
Sumber: Utusan Malaysia
