CHUKAI: Seorang bayi perempuan meninggal dunia selepas dilanggar kenderaan yang dipandu oleh sepupunya di kawasan rumah mereka di Kampung Darat Kolam, Kerteh.
Mangsa bernama Syaza Syazwina Zahra Mohd Sazali yang baru berusia setahun lima bulan parah di kepala, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Superintendan Hanyan Ramlan selaku Ketua Polis Daerah Kemaman berkata, pihak polis menerima laporan kemalangan itu pada pukul 10.30 malam dan siasatan awal mendapati mangsa dilanggar dengan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh sepupunya iaitu wanita yang berusia 19 tahun.
“Sebelum kejadian, kenderaan itu diparkir di hadapan sebuah rumah dan pemandu kemudian memasuki kenderaan untuk bergerak ke rumah bapa mentua di Rasau, Dungun.
“Mangsa pula yang tinggal di rumah bersebelahan dikatakan keluar tanpa pengetahuan ibunya dan berada di belakang kenderaan itu ketika ia sedang mengundur.
“Pemandu dikatakan terlanggar mangsa yang menyebabkan dia parah dan meninggal dunia,” katanya beliau.
Hanyan berkata juga, mangsa terkena tayar sebelah kiri kenderaan dan mayatnya dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
Kata Hanyan lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Berita Harian
