SINGAPURA – Doktor terkejut apabila melihat hampir keseluruhan sotong kurita tersekat pada kerongkong seorang lelaki selepas pesakit itu mengadu mengalami kesukaran untuk menelan.
Lelaki yang berusia 55 tahun itu dikejarkan ke hospital selepas menjamu hidangan hidupan laut berkenaan.
Ketika berada di hospital, pesakit itu memberitahu bahawa dia mula muntah sejurus selepas makan sotong kurita tersebut.
Pakar perubatan di Hospital Tan Tock Seng di Singapura segera membuat imbasan pada bahagian esofagus lelaki itu.
Beberapa gambar dirakam menunjukkan sotong kurita lengkap dengan penyedutnya, tersekat lima sentimeter (cm) dari saluran gastroesophageal yang menghubungkan bahagian esofagus dan perut pesakit.
Pasukan doktor tidak mempunyai pilihan lain selain melakukan imbasan tomografi dikenali sebagai oesophagogastroduodenoscopy pada pesakit berkenaan.
Cubaan awal prosedur bagi menolak atau mengeluarkan sotong kurita yang tersekat itu gagal dan akhirnya mereka terpaksa menggerakkan endoskop secara berhati-hati melepasi sotong itu untuk ke bahagian perut dan kemudian membengkok ke belakang.
Doktor kemudian menggunakan forsep untuk memegang kepala sotong untuk mengeluarkannya daripada kerongkong lelaki berkenaan.
Pesakit itu pulih dengan kadar segera selepas menjalani prosedur itu dan dibenarkan pulang ke rumah selepas dua hari.
Sumber: Utusan Malaysia
