MELAKA : Seorang ibu tunggal serta teman lelakinya ditahan dan direman selama tempoh tujuh hari selepas dipercayai membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.
Asisten Komisioner Christopher Patit selaku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 24 dan 25 tahun telah ditahan di Unit Forensik Hospital Melaka pada jam 8 malam tadi sejurus polis menerima laporan bedah siasat kematian mangsa.
Jelas beliau, sebelum kejadian polis telah dimaklumkan oleh pegawai perubatan hospital terbabit mengatakan telah menerima seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Zon Merah yang dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 6.50 pagi.
“Mangsa telah diberikan bantuan pernafasan (CPR) selama satu jam 10 minit, namun tidak menunjukkan sebarang tanda positif sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 9.15 pagi.
“Pada pukul 10.30 pagi mangsa telah dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan hasil laporan bagaimanapun menunjukkan mangsa mempunyai kesan kecederaan di bahagian kepala dan badan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.
Hasil soal siasat mendapati ibu mangsa mendakwa dia telah menghantar anaknya itu ke rumah teman lelakinya di kawasan Cheng pada jam 5.30 pagi untuk berubat kerana kanak-kanak tersebut dikatakan mengalami muntah-muntah.
Bagaimanapun pada jam 6.20 pagi teman lelakinya menghubunginya dan memberitahu mangsa telah terjatuh serta tidak sedarkan diri dan dia telah datang semula ke rumah terbabit untuk mengambil dan membawa mangsa ke Hospital Melaka sambil ditemani suspek lelaki.
Difahamkan juga, mangsa mengalami kecederaanpada bahagian kepala dan abdomen akibat trauma tumpul iaitu tengkorak dan organ dalam perutnya pecah dipercayai akibat ditendang dan perut ditekan secara agresif oleh suspek lelaki.
Dikatakan juga, suspek lelaki bertindak sedemikian selepas berang gara-gara mangsa muntah di atas sofa di rumahnya.
Christopher berkata, kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Kosmo
