ARAU – Seorang pekerja pembersihan terkejut apabila menjumpai dua butir bom mortar di bawah katil sebuah rumah ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di kediaman berkenaan di Taman RPA, Mata Ayer.
Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi selaku Ketua Polis Daerah Arau berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 7 petang daripada orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan dua butir bom tersebut.
“Hasil siasatan mendapati dua unit bom mortar itu ditemukan di bawah katil di dalam bilik rumah berkenaan oleh seorang lelaki (pekerja pembersihan).
“Lelaki berkenaan kemudian bertindak mengalihkan bahan letupan itu ke kawasan lapang berhampiran Dewan Orang Ramai Taman RPA Mata Ayer,” katanya di sini hari ini.
Mengulas dengan lebih lanjut, Ahmad Mohsin juga berkata, siasatan lanjut mendapati rumah berkenaan adalah peninggalan daripada seorang pesara tentera yang telah menamatkan perkhidmatan sejak tahun 1980.
Kata beliau, sejak pemilik rumah berkenaan meninggal dunia pada tahun 2013, kediaman tersebut ditinggalkan dan tidak lagi berpenghuni sehingga kini.
“Waris pemilik rumah itu telah mengarahkan kontraktor melakukan pembersihan untuk menjual kediaman itu sebelum menemukan dua butir bom berkenaan,” kata Ahmad Mohsin.
Dalam pada itu juga, Ahmad Mohsin berkata, Unit Persenjataan/Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis juga telah ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.
Katanya, pemeriksaan mendapati bahawa bom tersebut adalah merupakan jenis Mortar 81MM Illuminating yang digunakan untuk tujuan latihan.
Ujarnya lagi, bom tersebut juga didapati berada dalam keadaan berkarat dan tidak lagi aktif.
“UPB IPK Perlis juga akan melaksanakan tindakan pemusnahan hari ini dan tiada sebarang ancaman keselamatan lain dikesan.
“Selain daripada itu, tiada kecederaan dialami oleh pemberi maklumat atau mana mana orang awam dalam kejadian itu,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
