BENTONG: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) telah didakwa di Mahkamah Majistret Raub di sini atas pertuduhan membunuh bapanya antara 22 Jun hingga 24 Jun lalu.
Tertuduh, Kang Kong Chen, 22 tahun, yang kelihatan tenang mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Menurut kertas pertuduhan pada 22 Jun hingga 26 Jun lalu di sebuah unit Flat Purnama di sini tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Kan Kok Chong, 64 tahun.
Tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum sampai mati.
Pendakwaan tersebut dikendalikan oleh S. Punitha selaku Timbalan Pendakwa Raya manakala tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam.
Mahkamah menetapkan 3 Ogos ini sebagai taikh untuk sebutan semula kes dan tertuduh perlu menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Permai, Johor.
Baru-baru ini pula, media melaporkan misteri bau busuk di kawasan Flat Purnama di sini akhirnya terungkai apabila ia berpunca daripada mayat seorang lelaki yang menghuni sebuah unit flat di tingkat bawah kawasan berkenaan.
Lebih menyedihkan lagi apabila mayat mangsa, Kan Kok Cheong, ‘ditemani’ oleh seorang anaknya yang dikategorikan sebagai OKU di dalam bilik rumah.
Susulan itu polis telah menahan anak mangsa selepas siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian badan termasuklah kesan terbakar.
Sumber: Utusan Malaysia
