KOTA BHARU: Seorang penganggur telah didakwa di Mahkamah Majistret di atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan cara melibas dan mengacukan pisau terhadap bapanya pada hari Ahad lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Shargawi Ismail, 39 tahun, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret, Tuan Ruzaini Tuan Lah.
Tertuduh telah didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan bapanya yang berusia 71 tahun dengan melibas dan mengacukan sebilah pisau di sebuah rumah di Kampung Pasir Hor, kira-kira jam 8.30 malam, pada 2 Julai lalu.
Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara selama dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Nursyafiqah Mohamad selaku Timbalan Pendakwa Raya dan tertuduh diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad.
Terdahulu, Nursyafiqah telah mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM8,000 dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan juga saksi-saksi yang terbabit.
Sementara itu juga, Nik Nasrun Nazmi memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada tertuduh.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sumber: HMetro
