ARAU: Seorang banduan didapati maut selepas mengalami sesak nafas ketika sedang makan tengah hari di Pusat Koreksional Perlis.
Deputi Superintendan Shaharruddin Abdul Talib selaku Timbalan Ketua Polis Daerah Arau berkata, kejadian tersebut berlaku pada 1.15 tengah hari ketika mangsa, Mohd Hanafiah Abdul Samad, 42 tahun sedang menjamu selera di bilik tahanannya di pusat koreksional berkenaan.
“Mangsa tiba-tiba mengalami sesak nafas sehingga tidak sedarkan diri dan pegawai penjara yang menyedari kejadian itu membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sekitar 25 minit kemudian.
“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” kata beliau ketika dihubungi.
Kata Deputi Superintendan Shaharruddin Abdul Talib lagi, mangsa adalah banduan yang berada dalam tempoh tahanan reman dari Mahkamah Langkawi, Kedah.
“Dia ditahan di Pusat Koreksional Perlis bermula 16 Mei lalu atas kesalahan memiliki dadah mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Berdasarkan rekod kesihatan mangsa juga didapati mempunyai sejarah penyakit Hepatitis C dan sering mengambil alat penyedut pernafasan atau ‘inhaler’ kerana sering mengalami semput serta sesak nafas,” katanya.
Deputi Superintendan Shaharruddin juga berkata, keluarga dan waris mangsa sudah dimaklumkan, namun tidak dapat hadir kerana berada di Langkawi.
Katanya, proses bedah siasat dijangka dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Sumber: HMetro
