Seorang kanak-kanak lelaki bertindak melulu untuk melompat dari tingkat lima di sebuah blok rumah pangsa. Dia nekad untuk berbuat sedemikian kerana ingin melarikan diri daripada ibunya yang dipercayai sering memukulnya.
Insiden yang berlaku di Anhui, China tersebut berjaya dirakam oleh orang awam yang berada di sekitar situ. Orang awam tersebut menyaksikan kanak-kanak itu melompat dari penyaman udara di bahagian luar blok kediaman tersebut. Kejadian itu berlaku dipercayai selepas ibunya yang berada dalam rumah memukulnya beberapa kali dengan menggunakan kayu.
Difahamkan individu yang merakam kejadian berkenaan menjerit meminta wanita itu supaya berhenti memukul anaknya sebelum kanak-kanak tersebut bertindak untuk terjun. Video itu kemudian mendapat lebih daripada 10 juta tontonan di platform Weibo.
Menurut pihak polis pula, kanak-kanak lelaki itu dikejarkan ke hospital dan didapati tulangnya patah di beberapa bahagian badan.
Walau bagaimanapun, menerusi kenyataan yang disiarkan di akaun rasmi media sosial, polis telah mencetuskan kemarahan orang ramai apabila penyiasat berkata ibu kanak-kanak itu bertindak memukulnya kerana mahu memujuk dia untuk masuk semula ke dalam rumah selain bimbang dia mungkin terjatuh.
Memetik laporan Jiupai News pula, seorang kakitangan dari Persekutuan Wanita China mendakwa bahawa ibu kanak-kanak itu hanya ‘main-main’ untuk memukulnya sahaja dan percaya bahawa dia telah terjatuh dari bangunan secara tidak sengaja.
Sementara itu juga, kejadian tersebut telah mendapat pelbagai reaksi warganet yang mengecam tindakan wanita itu kerana memukul anaknya malah mendakwa kanak-kanak berkenaan pasti berada dalam keadaan yang takut sehingga sanggup terjun dari bangunan rumah.
Sumber: OhBulan, South China Morning Post
