BANGKOK : Seorang lelaki di Thailand maut selepas bilah mesin pemotong rumput terkena pada kemaluannya, mengakibatkan alat sulit itu terputus.
Anggota Balai Polis Mueang Nong Bua Lamphu berkejar ke lokasi kejadian yang mana terletak di sebuah taman rimba di wilayah Isaan sejurus menerima laporan.
Mereka menemui mayat Praditsin Chuypad yang berusia 39 tahun dalam keadaan seluarnya berlumuran darah. Pihak polis juga turut menemui bilah pemotong logam yang patah berhampiran mayatnya.
Pemeriksaan polis mendapati bahawa kemaluan Praditsin terputus. Kesan luka yang dalam turut ditemui pada pangkal paha kirinya.
Kecederaan yang serius itu menyebabkan arterinya putus malah mangsa turut kehilangan banyak darah sebelum meninggal dunia.
Polis kemudian menemui bahagian bilah yang patah dan berlumuran darah. Mereka percaya bahawa bilah itu patah selepas terkena kemaluan Praditsin.
Menurut penjaga taman rimba tersebut, Waen Visetsakda, mangsa diupah oleh pemilik taman rimba itu dengan tujuan membersihkan kawasan yang sudah berumput.
Dia turut mendedahkan bahawa Praditsin memilih menggunakan bilah besi yang lebih besar kerana yakin kerjanya akan selesai dengan lebih pantas berbanding biasa.
Sumber: Kosmo
