Semestinya ramai di antara kita pernah berhadapan dengan gangguan mistik dan makhluk halus tidak kira di mana sahaja termasuklah di rumah.
Ada yang ‘mengusik’ dengan hanya membuat bunyi-bunyian dan mungkin berlakunya kemunculan insiden aneh yang tidak masuk akal.
Namun yang paling mengerikan ialah apabila ia mula menyerupai seperti ahli keluarga atau orang yang kita kenali.
Seperti yang diceritakan oleh seorang pengguna TikTok @tiyakamal2 yang mana makhluk halus menyerupai ibunya.
Pengalaman menyeramkan yang dilalui oleh gadis itu meraih lebih 1.8 juta tontonan di laman sosial berkenaan.
Menurut Tiya, kejadian itu berlaku beberapa tahun yang lalu ketika dia masih bersekolah. Ketika bekerja pada syif petang, ibunya membeli lauk siap masak dan akan menelefon Tiya untuk memasak nasi di rumah.
Namun, belum sempat melaksanakan arahan ibunya, Tiya tertidur. Selepas bangun dari tidur, dia mendapati bahawa terdapat entiti seperti ibunya berada di ruang tamu.
“Saya lihat emak duduk di ruang tamu memakai kaftan. Saya rasa ‘lain macam’ tetapi tegur emak bila dia sampai,” kata Tiya.
Bagaimanapun, si ‘emak’ itu tidak menjawab pertanyaannya. Tiya cuma beranggapan ibunya marah kerana nasi belum ditanak, dia terus ke dapur untuk mencuci beras.
Selepas babak di dapur, Tiya turut bercerita bagaimana dia boleh berkomunikasi dengan entiti berkenaan.
“Emak beli lauk apa, nak panaskan tak? Tapi ‘dia’ asyik kata tak mengapa,” cerita Tiya.
Tidak lama kemudian, Tiya menerima satu panggilan telefon. Rentetan seterusnya membuatkan segalanya terbongkar.
“Emak saya (yang sebenar) telefon minta saya turun ke tingkat bawah untuk membantu mengangkat barang.
“Saya tiba-tiba terfikir sesuatu dan lihat ke arah ruang tamu. Entiti itu sedang berdiri mengadap ke arah tingkap,” ceritanya.
Tiya dalam keadaan yang menggeletar ketakutan terus bertindak keluar dari rumahnya dengan segera.
Bagaimanapun ketika membuka pintu, ‘makhluk’ itu sempat bertanya dia mahu pergi ke mana. Gadis itu terpaksa berbohong bahawa dia ingin ke kedai sebentar.
Tiya mengambil keputusan berada di luar rumah sehingga emaknya pulang. Namun dalam masa sama, dia tetap menghendap ruang tamu rumah melalui tingkap.
Ketika itu dia dapat melihat susuk makhluk itu sedang berdiri kaku.
Susulan dari itu juga, Tiya tidak dapat mengawal perasaan lalu terus menangis ketakutan.
Setiba ibunya di rumah, Tiya menceritakan perihal yang berlaku.
“Apabila kami memasuki ke dalam rumah, baunya lain macam, kami tercium bau wangi seperti bunga,” kata Tiya.
Justeru, kata Tiya pengalaman seram makhluk halus menyerupai orang yang dikenali adalah yang ‘big no’ bagi dirinya.
Warganet rata-rata mengakui meremang mengikuti pengalaman gadis itu. Ada juga yang turut berkongsi pengalamnan menghadapi kejadian yang hampir sama.
Sumber: SinarPlus
