JAKARTA : Seorang wanita di Indonesia nekad untuk menconteng bonet hadapan sebuah kereta yang diparkir di hadapan pagar rumahnya. Hal ini kerana berang akan kenderaan tersebut yang tidak dialihkan.
Berdasarkan sebuah klip video yang tular di laman TikTok, wanita berkenaan dilihat telah menconteng kereta yang berwarna putih itu dengan menggunakan gincu miliknya.
Meskipun tidak akan memberi kesan kekal pada badan kereta, penggunaan gincu tersebut akan membuatkan kenderaan menjadi kotor sekiranya tidak dibersihkan dengan cara yang betul.
Kereta itu dikatakan diletakkan betul-betul di hadapan pintu pagar rumah wanita berkenaan sehingga menyebabkan dia sukar untuk keluar atau masuk ke dalam rumahnya.
Pemilik kereta tersebut juga dikatakan tidak keluar untuk mengalihkan kenderaannya yang mendorong wanita berkenaan menulis kata-kata peringatan pada bonet bahagian depan.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
“Yang tinggal di rumah di tepi jalan pasti boleh memahami keadaan ini,” kata seorang pengguna.
“Idea yang bagus tetapi mahu tahu juga, apa yang berlaku seterusnya?” kata netizen lain pula.
Sumber: Kosmo
