Beri alasan kesunyian dan diabaikan oleh pasangan adalah ayat klise yang menitip di bibir pasangan yang curang tidak kiralah berapa pun usia mereka.
Hal ini kerana katanya mereka rindukan belaian pasangan malah berasa terluka apabila tidak mendapat perhatian. Itu sahajalah alasan seseorang yang curang dengan pasangan masing-masing.
Warga emas juga tidak terkecuali dengan kes sebegini, namun dengan wujudnya pelbagai aplikasi media sosial pada hari ini memudahkan lagi mereka melaksanakan ‘kerja jahat’ tersebut secara senyap.
Pada akhirnya, rumah tangga yang dibina selama berpuluh-puluh tahun bagaikan retak menanti belah. Hancur musnah begitu sahaja ekoran nafsu si warga emas ini.
Hushim Salleh selaku Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan berkata, ramai dalam kalangan mereka yang datang kepadanya merupakan warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Kata beliau, mereka yang hadir biasanya adalah atas inisiatif golongan isteri yang mendapat tahu mengenai hal kecurangan suami masing-masing.
“Biasanya perbuatan suami terdedah apabila isteri masing-masing memeriksa telefon bimbit mereka. Walaupun segala perbualan telah dipadam, pasangan mereka mampu lagi mengesan bukti di dalamnya (telefon bimbit).
“Apabila mereka hadir menemui saya, antara alasan yang biasa diterima adalah isteri tidak melayan mereka lagi seperti biasa, menyebabkan dia berasa kesunyian. Jadi menerusi media soal, suami ini akan mula mencari wanita lain,” katanya lagi.
Hushim berkata, kira-kira tiga pasangan warga emas menemuinya dalam seminggu bagi mendapatkan kaunseling, yang mana ia merupakan satu peningkatan berbanding beberapa tahun yang lalu apabila sekitar lima sahaja pasangan datang ke pejabatnya dalam tempoh sebulan.
Kata Hushim, daripada jumlah yang hadir berkenaan, kira-kira 80 peratus berjaya disedarkan dan mampu menyelamatkan rumah tangga masing-masing.
“Ada dalam kalangan warga emas ini hadir kerana diminta oleh anak-anak. Sudah tentulah mereka tidak mahu menanggung malu akibat daripada perbuatan bapa yang curang dengan ibu.
“Suami yang curang ini pula kebanyakannya berduit. Jadi pangkat dan harta turut memainkan peranan dalam masalah tersebut, selain usia wanita ditemui mereka yang lebih muda,” kata Hushim lagi.
Tambah Hushim, ada dalam kalangan isteri yang memilih untuk tinggal di rumah orang tua oleh sebab merajuk dengan tindakan suami berkenaan.
“Golongan isteri ini akan meminta untuk dimasukkan ke rumah orang tua kerana baginya, di sana dia mampu mendapatkan ketenangan diri. Di sana ada rakan-rakan yang boleh meluangkan masa dengannya,” katanya.
Media bahkan sering melaporkan mengenai kecurangan warga emas. Ada kalanya hal ini mendatangkan musibah kepada diri mereka sendiri.
Sebagai contoh, seorang warga emas berusia 71 tahun dilaporkan maut akibat ditikam oleh suami kepada wanita yang menjalin hubungan dengannya di Kajang, Selangor pada tahun lalu.
Semoga kes seperti ini dapat dibendung dengan cara menghargai pasangan masing-masing.
Sumber: Kosmo
