TUMPAT : Mayat seorang lelaki dijumpai dalam keadaan sudah dihurung oleh lalat. Kedua-dua belah tangan dan kakinya pula diikat dan dijumpai di dalam sebuah rumah yang sedang diubah suai di Taman Kota Kubang Labu, Pasir Pekan.
Mangsa yang berusia dalam lingkungan 40 tahun itu ditemui oleh dua orang pekerja warga asing semasa mereka datang untuk menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian di rumah tersebut.
Pemilik kediaman itu, Ho Wei Jiat, 34 tahun, mengatakan bahawa dia datang ke rumahnya itu kira-kira pada pukul 2.30 petang untuk melihat perkembangan kerja-kerja ubah suai di situ.
Menurut Ho Wei Jiat, semasa tiba di rumah berkenaan, dia terhidu bau yang sangat busuk sebelum mengesyaki ada bangkai kucing atau anjing di kawasan tersebut.
“Saya meminta salah seorang pekerja meninjau di dalam sebuah bilik yang dijadikan stor apabila melihat kasut mangsa yang merupakan pekerja sambilan untuk membantu kerja-kerja ubah suai rumah.
“Kami terkejut apabila melihat mayat mangsa yang diikat kedua-dua belah tangan dan kakinya selain banyak lalat menghurung badannya,” kata Ho Wei Jiat ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Tambahnya selain itu, Ho Wei Jiat juga melihat terdapat banyak kesan darah di dalam bilik tersebut.
Sementara itu, Asisten Komisioner Amran Dolah selaku Ketua Polis Daerah Tumpat berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai telah meninggal dunia kira-kira sejak tiga hari lalu.
Menurut , Asisten Komisioner Amran Dolah identiti mangsa masih belum lagi dapat dikenal pasti dan mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tumpat, untuk dibedah siasat.
Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Kosmo
