PETALING JAYA : Demi memperoleh pendapatan buat menampung keluarga yang tersayang, seorang buruh warga emas sanggup berjalan kaki sejauh dua kilometer setiap hari dari rumah ke tempat kerjanya.
Menerusi perkongsian video oleh aktivis kebajikan, Saharuddin Amirullah di media sosial baru-baru ini, dia sempat menegur pak cik tersebut ketika lelaki itu sedang berjalan kaki di mana semestinya dia dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Kebiasaannya asnaf yang lain pergi tempat kerja naik basikal, tapi pak cik ini cuma berjalan kaki, sedangkan tempat tinggal dan tempat kerjanya sejauh 2 km,” kata Saharuddin Amirullah.
Sementara itu, ketika disoal Saharuddin tentang gajinya, pak cik tersebut memberitahu bahawa dia hanya menerima upah sebanyak RM45 sehari.
Meskipun jumlah itu tidak cukup, tetapi bagi warga emas tersebut, dia tetap bersyukur kerana masih mempunyai pendapatan untuk kelangsungan hidupnya.
“Gaji RM45 sehari memang tak cukup. Jadilah tu kalau tiada kerja tiadak boleh makan,” kata pak cik itu kepada Saharuddin.
Video perkongsian Saharuddin tentang pak cik itu kini telah menerima lebih 163,000 tontonan dan 12,700 tanda suka di TikTok selepas ia dimuat naik sejak beberapa hari yang lalu.
Menjengah pula ke ruangan komen, ramai yang mendoakan pak cik tersebut supaya diberikan kesihatan berpanjangan agar dia mampu berbakti buat keluarganya.
“Semoga dimurahkan rezeki pak cik dan diberikan kesihatan berpanjangan,” kata Ime di ruangan komen.
“Semoga pak cik diberikan kesihatan dan dimurahkan rezekinya, kuat pak cik bekerja buat keluarga, tiada alasan seorang bapa untuk berjuang buat anaknya meskipun usianya telah lanjut,” ujar Dian pula di ruangan komen juga.
Sumber: Kosmo
