Sepanjang hidup, seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Tasha mengakui tidak pernah menjalinkan hubungan yang serius dengan mana-mana lelaki.
Oleh kerana sikapnya yang pemalu dia tidak tahu bagaimana untuk memulakan sesuatu hubungan meskipun Tasha mempunyai keinginan sedemikian.
Namun begitu, sesuatu yang tidak terjangka terjadi pada hujung semester pengajiannya apabila dia perlu menyelesaikan latihan industri di sebuah syarikat di ibu kota.
“Di syarikat ini, saya telah berkenalan rapat dengan seorang pekerja yang boleh saya namakan sebagai Zam.
“Dia berumur pertengahan 40-an dan memiliki perwatakan yang menarik. Dia baik dan pandai untuk mengambil hati,” kongsi Tasha.
Tasha berusia 24 tahun, akui dia berkenalan rapat dengan Zam biarpun mengetahui bahawa Zam telah mempunyai isteri dan anak-anak.
Hari demi hari, hubungan mereka menjadi semakin rapat. Tasha sendiri tidak faham bagaimana dia boleh jatuh hati dengan lelaki tersebut.
Malah, Zam turut memiliki perasaan yang sama dan dia akhirnya meminta Tasha untuk menjadi kekasih gelapnya.
Tasha menjelaskan, dek kerana terlalu ingin mengetahui perasaan bagaimana orang dilamun cinta, dia akhirnya bersetuju untuk menjalinkan hubungan tersebut bersama Zam yang merupakan suami orang itu.
“Saya tahu hubungan ini hanya sesuatu yang sia-sia tetapi saya hanya ingin merasai bagaimana perasaan seorang wanita disayangi oleh seorang lelaki.
“Kami menjalinkan hubungan percintaan dalam diam tanpa pengetahuan sesiapa pun.
“Tetapi lama-kelamaan saya amat menyayanginya dan dalam masa yang sama rasa bersalah kepada isteri Zam,” jelas Tasya.
Setelah tamat latihan industri, Tasha dan Zam masih lagi menjalinkan hubungan dan ada masanya mereka akan bertemu untuk melepaskan rindu masing-masing.
Kemudian, Tasha menjelaskan, pada suatu hari teman lelakinya itu mengajaknya untuk pergi bercuti ke Thailand dengan menunggang motosikal berkuasa besar.
“Dia sememangnya memiliki motosikal berkuasa besar dan ada ketikanya dia akan berkonvoi bersama rakan-rakannya ke Thailand.
“Saya bersetuju dengan pelawaan tersebut dan Zam memberitahu kepada isterinya bahawa dia ke sana bersama teman-temannya,” ujar Tasya.
Akhirnya mereka berdua pun pergi ke Thailand bersama.
Ketika di sana mereka telah tinggal bersama dalam satu bilik di sebuah hotel.
“Pada mulanya saya memintanya untuk menempah dua bilik yang berbeza.
“Namun, hasil pujuk rayu Zam akhirnya kami hanya menempah satu bilik dan pada hari itu juga saya telah menyerahkan kehormatan saya kepadanya.
“Sebelum ini saya tidak memberi kebenaran untuk dia berbuat demikian walaupun dia ada meminta beberapa kali, tetapi akhirnya saya termakan rayuannya,” terang Tasha lagi.
Sejak peristiwa itu, Tasha mengakui bahawa dia semakin ketagih untuk melakukan hubungan seksual dan sering melakukan perkara yang sama dengan Zam jika ada kesempatan yang terluang.
Setelah hanyut agak lama, Tasha menjelaskan, tiba-tiba dia bagai ‘ditampar’ apabila melihat bagaimana rumah tangga kakak kandungnya musnah akibat perlakuan orang ketiga.
Suami kepada kakaknya itu menjalinkan hubungan dengan wanita lain di belakang kakaknya.
Hal itu telah memberi satu ‘tamparan’ kepada dirinya dan memberikan kesedaran terhadapnya.
“Peristiwa yang menimpa kakak saya itu telah menyebabkan saya mula rasa bersalah kepada isteri Zam yang menghadapi perkara yang sama.
“Malah, saya menyedari bahawa hubungan saya bersamanya tidak akan ke mana oleh kerana dia masih mempunyai isteri,” terangnya lagi.
Akhirnya, Tasha nekad untuk memutuskan hubungannya dengan Zam meskipun sukar baginya kerana dia amat menyayangi lelaki tersebut namun tetap memikirkan dirinya dan juga isteri Zam malah terfikir juga akan masa depannya.
Sumber: Kosmo
