IPOH: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencuri lampin pakai buang dan barangan basah di sebuah pasar raya di Klebang.
Tertuduh, Cheong Khang Wen yang berusia 38 tahun, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang mengajar di sebuah sekolah menengah telah didakwa mencuri dua beg lampin pakai buang, dua peket ikan salmon fillet masing-masing seberat 512 gram dan 432 gram, satu peket ikan merah (648 gram) dan satu peket ikan kerapu (540 gram) dengan anggaran kesemua barang berjumlah RM243.47.
Tertuduh telah didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah pasar raya di Klebang dekat Chemor pada pukul 7.25 malam, 17 April 2023.
Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Terdahulu, Fatin Hosna Mohamad Zikri selaku Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 dikenakan ke atas tertuduh namun peguam, Elaine Foong yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000.
Elaine Foong berkata, anak guamnya yang mengalami masalah psikiatri dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Ipoh juga menghidap sakit darah tinggi dan perlu menanggung kedua ibu bapa yang sedang uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh telahpun membayar wang jaminan berkenaan.
Sumber: Kosmo
