Terdapat terpanjang di Kedah, ini kisahnya yang ramai tak tahu. Pernahkah anda melihat kubur panjang? Sebenarnya banyak kubur-kubur zaman dahulu yang dikatakan sebagai kubur panjang. Antara yang boleh dilihat seperti di Pulau Besar, Melaka.
Di Pendang, Kedah, juga ada sebuah kubur yang panjang. Dahulu kubur itu pendek sahaja tapi lama kelamaan ia semakin panjang.
Menurut cerita lisan orang-orang tua dahulu, ianya berpunca daripada janji yang tidak ditepati.
Setiap kali selepas musim menuai, akan diadakan pertandingan sabung ayam di Kampung Mempelam Susu, sebuah perkampungan yang suatu ketika dahulu terletak di tepi sungai.
Pertandingan tersebut sangat popular pada ketika itu, tambahan pula di kawasan kampung itu terdapat sebuah gelanggang sabung ayam yang paling besar.
Dijadikan cerita, kedua beradik ini telah dicabar untuk bertarung sesama sendiri kerana keduanya mempunyai ayam sabung yang dibawa bersama.
Pada mulanya, mereka enggan menyahut cabaran itu kerana tujuan asal mereka datang ke situ hanya untuk menjadi penonton saja, bukan bertanding. Namun, setelah didesak berkali-kali, akhirnya dua beradik tersebut setuju dengan syarat pemenang dilarang menyorak yang kalah.
Dalam perlawanan itu, ayam si abang telah kalah. Manakala si adik yang terlalu gembira kerana ayamnya menang telah terlupa kepada perjanjian hingga bersorak kegembiraan bersama penonton yang menyaksikan perlawanan itu. Disebabkan rasa malu, si abang memulakan pergelutan yang menyebabkan kedua-duanya meninggal dunia.
Jenazah mereka dibawa oleh penduduk kampung untuk dikebumikan di Kampung Pulau Keramat. Namun, secara tiba-tiba kedua jenazah menjadi berat dan mereka terpaksa mengebumikan mayat si adik di situ juga, manakala mayat abangnya dibawa ke Kampung Pulau Keramat.
Diceritakan juga, keesokannya apabila penduduk kampung datang ingin menziarahi kubur si adik, kedudukan batu nisannya telah berubah hingga menjadikan kubur itu kelihatan semakin panjang, padahal sebelum itu saiznya biasa sahaja seperti kubur-kubur yang lain.
Pernah dahulu jika kubur itu diukur, ukurannya sering berubah-ubah sehingga menimbulkan rasa aneh dan pelik dalam kalangan penduduk setempat. Sejak itu ia digelar sebagai ‘Kubur Panjang’ sehingga kini.
Kubur panjang ini memang terletak dalam kawasan perkuburan. Batu nisannya hanyalah batu sungai dan jika dilihat, memang ia panjang. Kawasan tanah perkuburan ini terletak di pinggir jalan raya utama pekan Kubur Panjang berhadapan dengan balai polis Kubur Panjang.
Menurut seorang bekas penghulu di mukim tersebut, suatu ketika dahulu, kubur panjang itu sering dikunjungi pelawat dari dalam dan luar negara. Mungkin kerana saiznya yang panjang, kubur si adik mudah mendapat perhatian. Bagaimana pula dengan kubur si abang?

Kubur si abang
Kubur si abang terletak di Kampung Pulau Keramat, tidak jauh dari Kubur Panjang. Ia terletak di dalam kawasan semak samun dan saiznya biasa sahaja, berbeza dengan kubur si adik yang panjangnya menjangkau 17 hasta.
Sumber: SelayangPandangNet
